KUSKOP peruntukkan RM13 juta program pembangunan keusahawanan halal: Ewon

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan sebanyak RM13 juta untuk melaksanakan beberapa program pembangunan keusahawanan halal tahun ini.

Advertisements

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini bagi membantu meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera daripada sektor makanan dan minuman (F&B) dalam industri halal negara.

Beliau berkata, program yang akan dilaksanakan itu ialah Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal melibatkan peruntukan RM1 juta, Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal melibatkan (RM2 juta), Program Inovasi dan Teknologi Halal dan Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal, masing-masing diperuntukkan RM5 juta.

“Program Pembangunan Kapasiti Usahawan Industri Halal bertujuan
menyediakan bantuan pematuhan pensijilan halal kepada
usahawan.

“Di bawah program ini, usahawan yang layak akan ditawarkan bantuan geran pembiayaan sehingga RM10,000 bagi menampung kos pematuhan syarat-syarat pensijilan halal.

“Selain itu, melalui program ini, KUSKOP juga menganjurkan Bengkel Kesedaran dan Bimbingan Halal Usahawan yang telah diadakan pada 19 dan 20 Februari 2024 di Pulau Pinang dan bengkel seterusnya akan diadakan pada Julai depan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Roshan Hashim (Kulim bandar Baharu) yang bertanya apakah perancangan Kementerian bagi membantu para
usahawan mikro Bumiputera seperti industri makanan dan minuman
(F&B) termasuk skim pembiayaan serta langkah proaktif yang diambil bagi merancakkan sektor keusahawanan halal menerusi pembangunan
kapasiti usahawan dan produk.

Ewon berkata, Program Pembangunan Kapasiti Produk Halal pula bertujuan membantu usahawan yang telah memiliki pensijilan halal untuk meningkatkan kapasiti produk dan perkhidmatan halal daripada aspek penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan.

“Melalui program ini, seramai 65 usahawan akan menerima bantuan geran pembiayaan bernilai sehingga RM30,000 bagi menampung kos pembangunan jenama produk, penyediaan prototaip dan menaiktaraf rekabentuk pembungkusan dan pelabelan setiap produk usahawan,” katanya.

Katanya lagi, bagi Program Inovasi dan Teknologi Halal dengan peruntukan RM5 juta, ia membantu usahawan yang memiliki pensijilan halal untuk meningkatkan keberhasilan produk dan perkhidmatan halal berteraskan inovasi dan teknologi.

“Program ini djangka akan memberi manfaat kepada seramai 25 usahawan dengan geran pembiayaan berjumlah RM200,000 setiap usahawan bagi mengadaptasi inovasi dan teknologi halal dalam meningkatkan produktiviti produk halal,” katanya.

Bagi Program Pengantarabangsaan Usahawan Halal dengan peruntukan RM5 juta, katanya ia bertujuan menyediakan akses produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran
antarabangsa.

“Melalui program ini, seramai 200 usahawan dijangka akan dibantu dengan membiayai kos penyertaan usahawan dalam pameran dan ekspo perdagangan antarabangsa,” katanya.

Ewon berkata, pada Februari lepas, kementerian juga telah menghantar usahawan-usahawan yang mempunyai produk makanan dan minuman halal ini ke Gulfood di Dubai melibatkan 10 usahawan dan 10 syarikat francais dengan menjana jualan sebenar sebanyak RM18.7 juta dan potensi jualan sebanyak RM131 juta.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles