TAMPARULI: Golongan muda perlu bersikap terbuka dengan saranan kerajaan untuk mendapatkan kemahiran dan latihan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, untuk mencapai kemajuan, seseorang tidak seharusnya lebih melihat kepada peluang menimba ilmu itu daripada memilih sesuatu bidang semata-mata.
“Para belia perlu berusaha lebih gigih demi mencapai sumber pendapatan yang diharapkan dalam kehidupan, dan untuk mencapai kemajuan diri sesungguhnya tidak ada yang datang bergolek, melainkan setiap kita perlu gigih berusaha demi mencapai kemajuan ekonomi yang diharapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Membuat Kraftangan (Wakid) anjuran Majlis Belia KDCA (KDCA Youth Council) Tamparuli dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Adun N.14 Tamparuli, di Dewan Muhibbah Kampung Tinuhan, dekat sini baharu-baharu ini.
“Jadi buanglah sikap ego atau terlalu memilih sesuatu bidang kemahiran jika benar-benar ingin mengubah nasib hidup,” katanya.
Menurut Jahid, yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, kerajaan telah menggariskan pelbagai program yang sebenarnya hanya bergantung kepada sikap dan minat rakyat itu sendiri untuk mengikutinya bagi tujuan menambah pendapatan.
Selain itu, katanya, agensi-agensi di bawah kerajaan juga menyediakan banyak peluang sebagai sebahagian strategi penambahbaikan struktur penjanaan ekonomi yang mampu mengubah kehidupan rakyat termasuklah di kawasan luar bandar.
“Ambillah seberapa banyak peluang yang baik seperti ini bagi menimba serta menambah kemahiran dan pengetahuan,” ujar Jahid yang juga Penyelaras KDCA Tamparuli.
Beliau turut melahirkan keyakinan, selepas program tersebut, kawasan Tenghilan, khususnya di Kampung Tinuhan, mampu menjadi pengeluar kraftangan terutamanya Wakid pada masa akan datang.
Tambahnya, pembuatan Wakid boleh dijadikan satu perusahaan yang mampu menjana pendapatan para peserta, apatah lagi membuat Wakid bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi bagi mereka yang kali pertama membuatnya,
Justeru, beliau menyeru kepada semua peserta khususnya golongan belia agar tidak berhenti setakat kursus tersebut, tetapi meneruskan usaha menambah lebih banyak ilmu dalam pelbagai bidang kemahiran yang lain.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinuhan, Wendy Guntarek menghargai sumbangan Jahid bagi melicinkan program tersebut.
Seramai 50 peserta terdiri daripada suri rumah, golongan bapa, dan para belia dari Kampung Tinuhan dan penduduk di sekitar Tenghilan telah menyertai program selama sehari tersebut.