Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup barang kawalan ke negara jiran

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot pam bersama seorang kru berumur 29 tahun yang dipercayai terlibat aktiviti penyeludupan di kawasan perairan berdekatqn Kampung Tandu, Felda Sahabat, Lahad Datu awal hari ini.

Advertisements

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna binti Razali Chan berkata, bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengesan sebuah bot pam melalui maklumat awam sekitar pukul 2.26 pagi.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Akta Kastam 1967 bersama Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.

Dr. Suzanna berkata antara barang yang dirampas adalah 340kg minyak masak pelbagai jenama dan 40kg beras yang disyaki dibawa keluar untuk dijual di negara jiran.

Beliau berkata turut dirampas ialah sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan dua buah enjin pam.

Katanya kesemua rampasan bernilai
hampir RM8,000.

Dr. Suzanna berkata kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi dijangka akan lebih aktif ketika Ramadan dan Syawal berikutan permintaan yang lebih tinggi.

Justeru itu, beliau menegaskan pihak Zon Maritim Lahad Datu akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas- atas bot terutama yang berada di lokasi titik panas di perairan ini bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibendung.

Katanya Zon Maritim Lahad Datu turut memohon kerjasama seluruh masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah di laut kepada Maritim Malaysia di talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles