Pengubung pasaran bantu produk PKS Malaysia tembusi pasaraya Eropah – Ewon

BERLIN: Peranan penghubung pasaran (market linker) sangat penting bagi membantu produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Malaysia untuk menembusi pasaraya-pasaraya di Eropah dan benua lain.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan penghargaan kepada penghubung pasaran dari Malaysia yang berjaya membantu memasarkan produk-produk PKS negara ke rangkaian pasaraya di luar negara.

Beliau menyatakan perancangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membangunkan program penghubung pasaran di beberapa negara dan cadangan terperinci akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada bulan hadapan.

“Dari segi dasarnya, cadangan ini telah dibawa ke Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan dan perincian cadangan program ini akan dibentangkan dalam mesyuarat MTEN bulan hadapan.

“Cadangan ini bertujuan untuk membantu mengeksport dan menempatkan produk-produk PKS Malaysia di rangkaian pasaraya-pasaraya dunia yang dikenalpasti dan dirundingkan oleh penghubung pasaran.

“Pasa ketika ini KUSKOP mempunyai program Bumiputera Go Global di bawah SME Corp dan Business Export Program di bawah SME Bank. Kita mahu mengembangkan program-program sedia ini dengan mencadangkan inisiatif Program Penghubung Pasaran supaya produk-produk negara mempunyai ruang tetap di pasaraya-pasaraya dunia,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam sesi dialog dengan penghubung pasaran dan pemilik-pemilik perniagaan PKS Jerman di Berlin, di sini.

Terdahulu, Ewon dan delegasi KUSKOP melawat Go Asia Supermarket yang memasarkan enam produk PKS Malaysia dan seterusnya ke Market Hall Berlin bagi meninjau potensi pemasaran produk-produk PKS Malaysia.

Lawatan dan sesi dialog tersebut dianjurkan bersama oleh SME Corp Malaysia dan Dreiha Handels iaitu agensi penghubung pasaran di Berlin.

Dalam dialog tersebut, Ewon turut memperkenalkan enam syarikat PKS dan francais negara yang telah mengambil bahagian dalam ekspo Berlin SME Future Day kepada pemilik-pemilik perniagaan Jerman yang hadir bagi potensi kerjasama dan padanan perniagaan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles