Warisan dan Umno Sabah masih berteka teki di kala rakyat menunggu dengan penuh debaran detik PRN – Musli Oli

KOTA KINABALU: Jika kenyataan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini dianggap sebagai petunjuk, nampaknya kedua-dua parti itu mengambil pendekatan berhati-hati berhubung potensi kerjasama pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Advertisements

Sebelum ini, Shafie berkata perbincangan sedang berjalan antara partinya dan Umno Sabah untuk tujuan itu.

Bung pula menunjukkan sikap berhati-hati dengan menyatakan Umno Sabah yang kini diberi autonomi oleh Umno pusat, masih belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Tegasnya, parti itu mengambil langkah berhati-hati sebelum memuktamadkan sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan pihak lain termasuk Warisan.

Bung sebelum ini turut menyatakan bahawa “UMNO Sabah dan BN tidak mahu dikhianati lagi” (takut pisang berbuah dua kali), sekaligus menunjukkan masih wujud rasa was-was selepas pengalaman bersama GRS dahulu.

Kenyataan Shafie dan Bung itu seolah-olah membayangkan bahawa Warisan dan Umno Sabah masih mempertimbangkan strategi lain mengadapi PRN
Sabah.

Penganalisis politik tempatan Musli Oli percaya bahawa, walaupun Warisan nampaknya berminat untuk membentuk pakatan dengan Umno Sabah, namun Umno masih menyimpan strategi sehinggalah DUN Sabah dibubarkan.

“Mungkin terdapat beberapa pemimpin Umno Sabah yang masih teragak-agak atau ragu-ragu untuk bekerjasama dengan Warisan kerana kerjasama itu cuma memperkuat kedudukan Warisan. Peluang Shafie menjadi KM Sabah lebih baik daripada Bung”

Musli juga menyerlahkan beberapa pemimpin Umno Sabah takut dikhianati lagi, mengimbau pengalaman lalu dengan janji yang dimungkiri.

Selain itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) pula telah memutuskan untuk bertanding secara bersendirian pada PRN akan datang tetapi tetap terbuka untuk membentuk pakatan bagi membentuk kerajaan negeri.

Parti-parti pembangkang di Sabah nampak berhati-hati mengambil kira sokongan rakyat terhadap kerajaan GRS yang semakin meningkat yang mereka anggap “gabungan parti lokal”.

Buat masa ini, beliau berkata Pakatan Harapan (PH) nampaknya komited menyokong kerajaan GRS.

Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah sebaik DUN dibubarkan, lebih-lebih lagi jika PH tidak berpuas hati dengan peruntukan kerusi pada PRN. Begitu juga parti-parti komponen GRS seperti SAPP dan USNO, mungkin bertindak di luar ramalan.

“Politik Sabah sukar diramal…apapun boleh berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun kini menjadi parti pemerintah atas dokongan PH, GRS tidak boleh leka dan tidak boleh mengambil ringan parti lawan.

Katanya GRS perlu sedar bahawa parti politik seperti Warisan, Umno/BN, PH, dan KDM mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu melakukan kejutan.

Namun begitu, Musli menegaskan bahawa akhirnya rakyat akan menentukan parti mana yang harus mentadbir negeri selepas PRN.

Perkembangan ini cukup menarik, katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles