KUALA LUMPUR: Sebanyak RM71.3 bilion pendapatan negara diperolehi hasil daripada kehadiran 20.1 bilion pelancong pada tahun 2023.
Ahli Parlimen, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berkata, perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
“Pada tahun ini pula MOTAC menyasarkan kehadiran 27.3 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM102.7 bilion, manakala sasaran kehadiran tahun 2025 adalah berjumlah 31.4 juta orang dengan jangkaan pendapatan pelancongan berjumlah RM125.5 bilion.
“Bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM147.1 bilion,” katanya.
Madius berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu dalam soalan lisan di Persidangan Dewan Rakyat di sini, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu mempersoalkan jumlah sasaran pulangan pelancongan kepada ekonomi negara dan langkah-langkah kerajaan untuk menarik lebih banyak pelancong asing untuk melawat Malaysia.
Menurut Khairul, antara langkah yang diambil Kerajaan termasuklah pengumuman kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berupa agenda negara dalam pelancongan.
Ujarnya, bagi menjayakan kempen tersebut, MOTAC memerlukan sokongan padu Kerajaan negeri, penggiat industri pelancongan negara serta sokongan rakyat dalam membuat persiapan rapi menerima kedatangan lebih ramai pelancong asing ke Malaysia.
“MOTAC melalui Tourism Malaysia juga akan meneruskan penyertaan aktif dalam pameran-pameran pelancongan antarabangsa seperti International Tourisme Bourse (ITB) Berlin, World Travel Market (WTM) London, Arabian Travel Mart (ATM) Dubai, ASEAN Tourism Forum (ATF) dan banyak lagi merangkumi pasaran-pasaran utama seluruh dunia.
“Ini adalah penting bagi memastikan penjenamaan Malaysia Truly Asia akan kekal menjadi pilihan pelancong-pelancong seluruh dunia lebih-lebih lagi memandangkan negara-negara pesaing sentiasa agresif mempromosikan destinasi masing-masing di pameran-pameran pelancongan utama tersebut,” katanya.
Khairul menambah, kerajaan juga bekerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pelancongan Negeri-negeri dengan menyokong usaha penganjuran kempen Tahun Melawat Negeri yang telah dirancang.
Menurut beliau, sehingga kini empat negeri telah mengumumkan kempen tahun melawat negeri pada tahun 2024 iaitu Melaka, Perlis, Kelantan dan Perak.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga meningkatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan dalam meluaskan rangkaian penerbangan terus dari pasaran – pasaran utama ke Malaysia dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong antarabangsa ke Malaysia.
“MOTAC juga mengadakan penganjuran program lawatan familiarisasi bersama media dan agensi pelancongan bagi memberi pengalaman dan pendedahan terhadap produk & destinasi pelancongan yang baharu,” katanya.