Kerjasama rentas kementerian dan parti antara platform terbaik bantu rakyat akar umbi : Ewon

KOTA KINABALU: Kerjasama rentas kementerian dan parti antara platform terbaik untuk menyampaikan maklumat berkaitan fungsi, dasar, peranan, inisiatif dan program-program kementerian kepada rakyat peringkat akar umbi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Advertisements

Sehubungan itu beliau berkata, kolaborasi antara kementeriannya dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan diteruskan untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

“Kerjasama melibatkan dua pemimpin parti ini juga adalah mesej kepada rakyat bahawa kolaborasi merentasi parti dan kementerian untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat boleh dilaksanakan.

“Pimpinan kementerian dan parti boleh bekerjasama menggunakan kekuatan di kementerian masing-masing demi rakyat Sabah yang selama ini bercakap tentang keperluan pembangunan keusahawanan dan keperluan pembangunan-pembangunan lain.

“Pada saya, jentera parti juga perlu terlibat dalam penyampaian maklumat kementerian kepada masyarakat akar umbi.

“Sebab itu saya mencadangkan kepada Datuk Arthur (Datuk Arthur Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan) untuk memulakan kerjasama ini sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan Madani ditubuhkan dan kita teruskan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Kolaborasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan KPKM, di Hotel Promenade, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP Datuk Zamri Salleh, ketua-ketua agensi KUSKOP dan KPKM.

Ewon berkata, kerjasama seumpama itu boleh memberikan ruang yang lebih luas kepada rakyat menikmati apa yang disediakan oleh kedua-dua kementerian berkenaan.

“Saya amat yakin ini adalah satu bentuk kerjasama yang boleh membuka ruang kepada rakyat untuk menikmati hasil penglibatan kami di kementerian masing-masing.

“Dengan melibatkan kedua-dua pimpinan tertinggi parti, pergerakan-pergerakan (Pemuda, Wanita dan Belia) boleh menjadi jentera penyampai maklumat kementerian kepada rakyat akar umbi di kawasan masing-masing.

“Ada yang mengatakan kerjasama mahu diteruskan tetapi saya mengharapkan lebih daripada itu dan sebagai Presiden UPKO, kerjasama itu perlu terjemahan dengan jelas agar rakyat betul-betul dapat merasainya,” kata Ewon.

Sementara itu Arthur menyatakan keyakinannya bahawa kerjasama antara KUSKOP dan KPKM dapat diteruskan.

“Saya yakin ini bukan penghujungnya tetapi akan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak lagi usaha yang kita akan lipatgandakan bersama untuk membawa balik kepada rakyat Sabah.

“Kami sama-sama berbincang bagaimana menggunakan platform yang ada untuk membantu rakyat Sabah khususnya yang kami wakili,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu dimulakan sejak tahun lalu apabila Datuk Ewon melawat kawasan Pensiangan dan membantu usahawan di kawasan itu.

“Saya sendiri telah membalas lawatan itu dengan mengadakan lawatan di Parlimen Penampang untuk membantu beberapa petani moden di bawah kapasiti saya ketika itu di Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.

“Maka sekarang, apabila saya dipindahkan ke kementerian pertanian, kita sekali lagi berbincang bagaimana menggunakan platform yang ada untuk melengkapkan keperluan rakyat melalui kedua-dua kementerian.

“Saya melihat ini satu kolobarasi yang sangat sesuai diantara kementerian saya dengan KUSKOP di mana kita memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dalam bidang pertanian dan keusahawanan seterusnya membantu mereka meluaskan pasaran melalui sokongan kedua-dua kementerian,” katanya.j

Related Articles

253FansLike

Latest Articles