Lebih 32 ribu usahawan Terengganu dibantu agensi KUSKOP tahun 2023 – Ewon

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi-agensi di bawah kementerian itu berjaya membantu lebih 32,000 usahawan Terengganu sepanjang tahun lalu.

Advertisements

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, para usahawan itu menerima pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank dan Bank Rakyat melibatkan dana pembiayaan sebanyak RM485.3 juta.

“Selain itu, seramai 811 usahawan telah menerima bimbingan dan latihan keusahawanan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“SME Corp. juga telah melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan dengan memberi manfaat kepada 469 usahawan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KUSKOP dan Agensi-Agensi Negeri Terengganu Tahun 2024, di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan)
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak, Setiausaha Bahagian Kementerian dan Ketua-Ketua Agensi Negeri dan warga kementerian serta agensi di Terengganu.

Ewon berkata, dalam aspek koperasi pula, negeri Terengganu mempunyai sebanyak 823 koperasi berdaftar setakat Disember 2023.

“Daripada jumlah itu sebanyak 58 koperasi baharu didaftarkan pada tahun lalu di Terengganu,” katanya.

Selain itu katanya, sebanyak 21 koperasi telah menerima pembiayaan berjumlah RM28.3 juta di bawah Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan sebanyak 18 koperasi diluluskan pembiayaan di bawah bantuan pembangunan koperasi dengan nilai RM1.3 juta.

“Berdasarkan pencapaian ini, saya sangat menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh semua pegawai dan kakitangan di Kementerian dan Agensi di negeri Terengganu dalam memastikan semua inisiatif dan bantuan kepada usahawan dan koperasi dapat disampaikan dengan berkesan.

“Ia bukan sesuatu yang mudah dan sudah tentu setiap orang telah memainkan peranannya,” katanya.

Dari segi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Terengganu, Ewon berkata, sebanyak 37,598 pertubuhan PMKS telah direkodkan di negeri ini dengan 88 peratus daripadanya merupakan usahawan mikro.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles