UPKO kemukakan input Kongres Ekonomi Bumiputera

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengemukakan input dan syor bagi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) kepada Pengerusi Kluster Bumiputera Sabah Professor Madya Datuk Dr Ramzah Dambul.

Advertisements

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick bersama-sama dengan Biro Keusahawanan dan Ekonomi mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Dr Ramzah di Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah.

Menurut Ewon, KEB akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 Februari hingga 2 Mac ini dan Kerajaan telah melantik Dr Ramzah sebagai Pengerusi bagi Kluster Bumiputera Sabah.

“Apabila KEB dibincangkan, saya telah meminta agar isu-isu ekonomi Bumiputera Sabah dan Bumiputera Bukan Melayu turut diberi fokus dan agar satu perbincangan berasingan dibuat. Justeru, kerajaan memutuskan untuk mengadakan Kluster Bumiputera Sabah dan Kluster Bumiputera Sarawak dalam kongres ini.

“Sebagai parti yang komited untuk membangunkan taraf sosio-ekonomi dan memperkasakan penyertaan Bumiputera Sabah dalam sektor keusahawanan dan aktiviti ekonomi, UPKO hari ini mengemukakan input dan syor kepada Dr Ramzah supaya dapat dimasukkan dalam penyediaan resolusi kongres.

“Sudah tentu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan menjadi salah kementerian strategik yang akan melaksanakan resolusi-resolusi kongres tersebut kelak.

“Justeru, saya ingin melihat satu resolusi di mana Kementerian saya dapat memainkan peranan besar dan signifikan untuk pembangunan ekonomi dan keusahawanan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan akan menjemput kedua-dua Pengerusi Kluster Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk membentangkan resolusi kepada kementeriannya selepas kongres tersebut.

“Saya berpendapat, sepertimana aspirasi saya selama ini, Kerajaan boleh memperkenalkan dasar pandang ke timur dalam negara iaitu memberi fokus tambahan yang besar kepada Sabah dan Sarawak dalam pembangunan ekonomi dan keusahawanan rakyat.

“Sebab itu saya akan menjemput Pengerusi Kluster Bumiputera Sabah dan Pengerusi Kluster Bumiputera Sarawak untuk memberikan taklimat khas kepada Kementerian saya pada Mac nanti supaya kita boleh mengambil resolusi kongres untuk dijadikan sebagai inisiatif atau program untuk dilaksanakan di kementerian,” katanya.

Turut sama dalam perjumpaan tersebut ialah Pengerusi Biro Keusahawanan dan Ekonomi UPKO Datuk Gilbert Sham, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Mary Jim dan Timbalan Presiden Kongres Nasional Momogun Datuk Stephen Sampil.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles