KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah , Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengajak semua ahli UMNO di negeri ini ,agar mengambil kesempatan di ambang tahun baharu untuk menanam azam agar tahun 2024 yang bakal disambut esok adalah perjalanan terbaik bagi meneruskan perjuangan bagi mencipta kecermerlangan.
Katanya UMNO khususnya di Sabah telah melalui pelbagai cabaran , ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan dalam parti, namun dengan adanya pemimpin dan ahli parti yang masih berprinsip dan setia dalam perjuangan, UMNO di Sabah kekal relevan dan masih berdiri kukuh meneruskan perjuangan.
Menurut beliau sejarah tidak akan tercipta sekiranya UMNO tidak bergabung membentuk sebuah kerajaan negeri selepas Pilihanraya Negeri ke-16 (PRN16) bagaimana pun ianya tinggal sejarah apabila sumbangan terbesar UMNO itu dinafikan dan selepas Pilihanraya Umum ke-15 apabila kerajaan Perpaduan dibentuk ternyata konsep tersebut tidak selaras dalam pemerintahan kerajaan negeri hari ini.
“Sejak awal ketika pembentukan kerajaan negeri selepas PRN 16 dalam gabungan Rakyat Sabah(GRS) , BN/UMNO Sabah merasakan walaupun tinggal dalam satu rumah namun berasingan bilik, seakan-akan menafikan sumbangan terbesar BN/UMNO dalam pembentukan kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.
Bung yang juga Pengerusi BN Sabah ,mengingatkan ahli-ahli UMNO , jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika mereka gagal dalam ujian yang lebih besar pada masa akan datang.
“Umno perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi untuk agama, bangsa dan negara,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru 2024 yang disambut esok.
Beliau berkata badai cabaran yang telah melanda parti pada dalam iklim pemerintahan kerajaan yang tidak selari dengan konsep kerajaan perpaduan bukanlah alasan untuk terus bersikap pesimistik dan kini bukan masanya untuk terus mengeluh serta mengenang perkara lalu.
Sebaliknya Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengajak ahli parti untuk meningkatkan usaha memantapkan persiapan bagi menghadapi PRN akan datang.
“Sempena tahun baru ini bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.
“Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi,” katanya.
Bung berkata inilah masanya bagi UMNO Sabah untuk terus mendengar denyut nadi rakyat serta mendukung aspirasi mereka yang berhadapan dengan pelbagai isu antaranya isu kemudahan insfrastruktur asas jalanraya, air, bekalan elektrik yang belum selasai .Rakyat hanya dimomokkan dengan slogan yang hanya sedap di dengar tapi hakikatnya rakyat masih menunggu dan terus menunggu tanpa kesudahan yang tuntas.
Bung menambah pengalaman dan sejarah telah menjadikan Umno parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai Umno dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan landskap politik mutakhir, memastikan parti terus segar dan relevan dan tidak diperkotak-katikan oleh pihak lain..
Bung berkata Umno dan rakan-rakan komponen BN perlu memastikan agar hari ini untuk warga Sabah adalah lebih baik dari hari semalam dan fajar menyinsing di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.
“Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam BN untuk terus bekerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Sabah yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negeri tercinta ini di tempatnya yang hak dalam kemakmuran dan kemajuan yang dikecapi oleh negara,” katanya.