Kuskop berjaya capai KPI tahun 2023

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi 10 agensi berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahun 2023 melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu dan sedia ada.
 
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen tinggi dan kesungguhan kesemua warga kementerian dan agensi-agensinya.
 
“Inisiatif-inisiatif baharu dan sedia ada berjaya melahirkan seramai 83,361 usahawan baharu di seluruh negara sepanjang tahun ini.
 
“Secara keseluruhannya, dalam tempoh setahun pentadbiran Kerajaan Malaysia Madani, Kuskop dan 10 agensi di bawahnya berjaya melaksanakan sebanyak 187 program di seluruh negara setakat November tahun ini dan memberi manfaat kepada 755,909 usahawan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan koperasi,” katanya.
 
Inisiatif-inisiatif baharu KUSKOP dan agensi
 
Ewon berkata, tahun ini sahaja lebih 22 program, skim dan bantuan baharu diperkenal dan dilaksanakan oleh kementerian melalui agensi Tekun Nasional, SME Bank, UDA Holding Berhad, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
 
Antara inisiatif-inisiatif baharu itu ialah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Usahawan Kraf, Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial, Skim Insentif Kelestarian, Skim Juara Lestari, Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis (KAPPS), Kursus Urus Tunai (KUT) Lanjutan, BRPlus, BRTani, BRJohorniaga, Rakyat2E, RAKYATpreneur 4.0, Bank Rakyat UNIPreneur 3.0, Program Pengukuhan Eksport PKS (SMEs Go Global), Program Pengukuhan Mikro MADANI (Mikro MADANI), Program Bumiputera Enterprise Enhancement (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak.
 
Katanya, selain itu KUSKOP melalui SKM turut memperkenalkan semula Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) yang tertunda pelaksanaannya sejak 2019 ekoran pandemik Covid-19.
 
“IKMA juga melaksanakan dua program baharu tahun ini iaitu Program Bimbingan Bersasar Koperasi Besar dan Kursus Wajib (PLUS) (Program Lanjutan Tadbiru Urus Lembaga Koperasi).
 
“Dalam usaha untuk mengalakkan lebih ramai individu mendapatkan latihan, sekali gus melahirkan usahawan di Sabah dan Sarawak, INSKEN telah membuka cawangan pertamanya di Sabah pada Mei 2023 dan cawangan kedua di Sarawak pada Oktober 2023,” katanya.
 
 
Komitmen tinggi bangunkan usahawan PMKS, koperasi
 
Sebaik dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 2 Disember 2022, Ewon memulakan langkah pertama dengan memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), khusus untuk Sabah dan Sarawak.
 
“Saya telah menyatakan, tanpa mengurangkan fokus sedia ada di kementerian, saya ingin memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.
 
“Pada 27 Januari 2023, dalam program pertama saya di Nabawan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya telah mencadangkan kepada Tekun Nasional supaya menyediakan skim pembiayaan mudah khusus untuk usahawan yang berniaga di pasar tamu khususnya di Sabah dan Sarawak.
 
“Pada Mac 2023 saya telah melancarkan skim itu yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Usahwan Tamu di Kadamaian Kota Belud,” katanya.
 
Beliau berkata, sejak dilancarkan sehingga Disember, seramai 1,108 penjaja dan peniaga kecil menerima manfaat daripada SPUT dengan peruntukan sebanyak RM4.78 juta.
 
Selain itu Ewon juga memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf yang dilaksanakan Tekun.
 
“Menerusi skim usahawan kraf, Tekun menyediakan pembiayaan sehingga maksimum RM100,000 kepada usahawan mikro dan kecil dalam seni pembuatan kraf, baju batik, kraftangan, cenderamata dan perusahaan dalam sektor kraf,” katanya.
 
Beliau berkata, dua program baharu akan dilaksanakan bermula tahun depan iaitu Program Rangsangan Koperasi Pelancongan di bawah SKM dan Projek Tamu Desa.
 
Ewon berkata, komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperjuangkan nasib komuniti penjaja dan peniaga kecil terserlah melalui peruntukan besar bagi menyediakan kiosk-kiosk penjaja yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
 
“Bagaimanapun, komuniti penjaja dan peniaga kecil di kawasan luar bandar juga memerlukan pembelaan yang sama. Mereka berjualan di tamu-tamu tradisi, tamu mingguan dan tepi-tepi jalan yang pastinya menginginkan kemudahan gerai dan tamu desa yang lebih baik.
 
“Sebab itulah saya dan kami di Kuskop telah mengemukakan cadangan Projek Tamu Desa kepada Kementerian Kewangan semasa sesi libat urus penyediaan belanjawan agar peruntukan khusus untuk penaiktarafan kemudahan gerai keusahawanan dapat disediakan dalam Belanjawan 2024.
 
“Mewakili komuniti penjaja dan peniaga kecil, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas persetujuan meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan 2024,” katanya.
 
Ewon berkata, Kuskop akan memperincikan skop pelaksanaan Projek Tamu Desa bagi memastikan ia mencapai sasaran menyediakan kemudahan gerai, warung atau premis perniagaan yang bersih dan dilengkapi dengan kemudahan asas sekali gus berupaya menjadi tarikan pengunjung dan pelancong.
 
Pencapaian KUSKOP 2023
 
Beliau berkata, secara keseluruhannya KUSKOP menerusi 10 agensi di bawahnya iaitu SKM, Tekun, UDA, IKMa, Bank Rakyat, INSKEN, SME Bank, SME Corp, Pernas dan AIM berjaya mencapai KPI tahun 2023 melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu dan sedia ada.
 
Katanya, di bawah Pelan Strategik KUSKOP 2023 sebanyak 187 program dilaksanakan oleh kementerian dan agensi-agensi sepanjang tahun ini setakat November dengan memberi manfaat kepada seramai 755,909 usahawan perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan Koperasi di seluruh negara.
 
“Kementerian juga berjaya mencapai KPI dalam program-progam pendedahan dan pembudayaan keusahawanan, meningkatkan jumlah usahawan dan koperasi yang menerima manfaat program pemantapan kapasiti serta fasilitasi dan sokongan keusahawanan.
 
“Menerusi program pembudayaan keusahawanan, setakat November tahun ini seramai 326,474 usahawan PMKS dan koperasi menyertai 24 program yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi-agensi.
 
“Antara program yang mendapat penyertaan paling tinggi ialah Program Webinar BizFrancais yang dilaksanakan oleh Pernas iaitu seramai 199,961 peserta.
 
“Diikuti Program Promosi dan Penggalakan Koperasi oleh SKM iaitu seramai 80,283 orang dan Kembara Kerjaya (ROAD) 2023 oleh Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan (BPES) Kiskop, disertai 13,919 orang,” katanya.
 
Ewon berkata, inisiatif-inisiatif baharu dan sedia ada yang dilaksanakan sepanjang tahun 2023 juga berjaya melahirkan seramai 83,361 usahawan baharu di seluruh negara.
 
“Daripada jumlah itu seramai 64,299 orang menyertai Program Sahabat AIM Usahawan Baharu (Pembiayaan SPI & SPI – iMuda) dan Program Tekun Usahawan Baharu (Pembiayaan Tekun Niaga) seramai 13,794 orang.
 
“Antara program-progam lain yang disertai oleh usahawan baharu ini ialah Graduate Mentoring Program (Bank Rakyat), Program Dropship & Agen (INSKEN), Progam Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE) 3.0 oleh BPES, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp, Progam Usahawan Perantis (SPACE) 2.0 oleh BPES, Program Bimbingan Asas Bisnes, Program Peningkatan Francais (Pernas) dan Penempatan Latihan Kerjaya dan Keusahawanan bagi graduan TVET,” katanya.
 
Beliau berkata, dari segi bantuan pembiayaan termasuk pembiayaan mikro-kredit, geran keusahawanan, pinjaman mudah dan pembiayaan alternatif, setakat November ini, seramai 292,530 orang menerima manfaat dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.190 bilion yang disalurkan oleh agensi-agensi di bawah kementerian.
 
Dasar dan Pelan Induk
 
Ewon berkata, pada tahun ini KUSKOP juga telah menggubal dan melancarkan beberapa dasar dan pelan induk bagi memperkasanakan lagi usahawan PMKS dan Koperasi di negara ini.
 
“Ini termasuklah Dasar Koperasi Negara 2030 (DAKOM 2030), Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) dan Pelan Pemformalan Usahawan Informal.
 
“Pelan Pemformalan itu adalah sebuah dokumen yang menggariskan langkah strategik bagi membantu dan memudahcara pemformalan usahawan informal sebagai perniagaan berdaftar.
 
“Bagi memudahkan penyelarasan program keusahawanan Kerajaan Sabah dan Persekutuan, kita juga telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe,” katanya.
 
Aspirasi Kuskop 2024
 
Sejajar dengan visi dan misi KUSKOP menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan, kementerian menetapkan enam Aspirasi untuk tahun 2024.
 
Ewon berkata, kementeriannya komited meningkatkan penyertaan PMKS dalam industri berimpak tinggi (HGHV) bagi memperkasa rantaian bekalan domestik dan rantaian nilai global.
 
“Selain itu, kementerian juga berusaha untuk memperluas akses dan peluang pembiayaan bagi meningkatkan pertumbuan dan pembangunan perniagaan, meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan supaya lebih kalis cabaran dan berdaya maju.
 
“Bagi memperkasakan PKS supaya bersedia menerokai pasaran modal, kementerian akan terus melaksanakan program-program peningkatan kesedaran, kesediaan kemampanan dan tadbir urus korporat.
 
“Kuskop juga akan terus memacu pertumbunan Gerakan Koperasi supaya lebih kompetitif dan berprestasi tinggi melalui transformasi sokongan koperasi dan penglibatan dalam industri berpotensi,” katanya.
 
Aspirasi kementerian yang keenam ialah memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial melaui perluasan peranan perusahaan sosial untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles