Diwakili oleh Penyelaras Parlimen Sandakan Cik Tang Szu Ching memberi sumbangan Petrol kepada Jabatan Kesihatan Kawasan Sandakan di Stesen Petrol Batu 1.5
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, menyumbangkan minyak petrol kepada pasukan penyembur kabus (fogging) pencegahan nyamuk aedes Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan sebagai usaha dan langkah bersama dalam mencegah penyebaran demam denggi di daerah ini.
Katanya, beliau peka dan sedar akan tanda-tanda peningkatan wabak demam denggi di Sandakan dan dalam masa yang sama jabatan itu juga dimaklumkan telah kehabisan bekalan peralatan berkaitan penyemburan nyamuk aedes menjelang akhir tahun.
Justeru, beliau dengan serta-merta menyumbangkan petrol untuk mereka gunakan sebagai salah satu bahan yang diperlukan bagi kerja-kerja penyemburan kabus itu.
Sumbangan menggunakan dana Ahli Parlimen itu atas keperluan semasa yang diperlukan untuk rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Vivian menyeru penduduk Sandakan untuk sentiasa peka dan memastikan kebersihan sekeliling rumah semasa musim hujan pada musim timur laut menjelang akhir tahun ini bagi mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.
“Penyemburan kabus mencegah pembiakan nyamuk Aedes bukanlah penyelesaian jangka panjang,” jelasnya.
“Hanya dengan kesedaran semua pihak dan memusnahkan semua tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, kita boleh menghentikan pembiakan nyamuk ini sejak dari awal lagi.
Ini sekaligus dapat memastikan diri dan keluarga terhindar dari jangkitan demam berkenaan.” Tambahnya.
Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan juga menyatakan bahawa cara terbaik untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes adalah dengan memastikan tempat yang boleh menampung air di rumah kekal kering dan sentiasa bersih termasuk kawasan yang berpotensi yang lain juga perlu sentiasa berada dalam keadaan yang terhindar dari pembiakan nyamuk itu antaranya kawasan pembinaan dan yang lain.