PUTATAN: Warga Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu terus membantu kerajaan merancakkan kembali ekonomi negara melalui rangkaian ‘business circle’ yang dimiliki dikalangan ahli dan cawangan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, selain aktiviti kemasyarakatan dan dakwah, USIA turut membantu dalam perkembangan rantaian ekonomi negara melalui aktiviti jualan runcit, mewujudkan koperasi dan beberapa cabang keusahawanan yang lain.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha USIA dalam melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, termasuklah dakwah, kemasyarakatan dan program keusahawanan, sekali gus membantu dalam menyatupadukan masyarakat di negeri ini”, katanya pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA Ke-37, Tahun 2022 di Dewan Utama Hotel Pan Borneo, Putatan pada Jumaat.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya.
Beliau berkata, USIA perlu menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada untuk membantu ahli khususnya menarik golongan muda dalam meningkatkan kemahiran diri yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Menurutnya, golongan muda belia dan puteri selaku pelapis pemimpin masa hadapan perlu dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran teknikal, terutama ilmu agama yang menjadi penerus kepada kelangsungan gerakan dakwah dan tarbiyyah di negeri dan negara ini.
Katanya, USIA ditubuhkan bertunjangkan kepada penyatuan ummah melalui semangat persaudaraan dalam sebuah keluarga yang besar, mampu membugar kembali peranan dan fungsi utaman (core-business), serta mengaktifkan aktiviti menyantuni golongan asnaf dan saudara kita (mualaf) seperti ziarah dan sentuhan kasih, serta program berteraskan semangat kekeluargaan untuk merapatkan ukhuwah silaturrahim dalam kalangan ahli dan masyarakat.
Hajiji yakin dengan kekuatan ahli mencakupi semua daerah di seluruh negeri, USIA bukan setakat sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam tertua di Sabah, malah sebagai pertubuhan terbesar dengan peranan utamanya untuk memperkasa dan mempelbagai aktiviti dakwah.
“Semoga USIA terus komited untuk melaksanakan transformasi bagi mencapai visi dan misi memperkasakan kegemilangannya dari segi sistem pengurusan dan pentadbiran, meliputi soal pembangunan ekonomi, penjanaan pendapatan, pembangunan sumber manusia dan pendidikan”, tambahnya.
Katanya, dengan prinsip ‘amar maaruf nahi mungkar’ (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) yang menjadi pegangan pertubuhan ini, USIA wajib mengajak bukan sahaja ahli, malah seluruh rakyat ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
“Ini kerana USIA sentiasa menjadi perhatian masyarakat kerana membawa imej Islam. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Junjunglah konsep “amar makruf nahi mungkar” itu demi agama dan negara”, tegasnya.