KOTA KINABALU: Di tengah kegembiraan musim perayaan Krismas, Biro Kesihatan – Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah mengadakan program kemanusiaan yang menyentuh hati, iaitu “Jolly & Jingle Caregiver Initiative di Hospital Wanita & Kanak-Kanak Sabah, di sini pada Khamis.
Program tersebut diketuai Pengerusi Biro Kesihatan merangkap Exco Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Dr Davina Datuk Markus Majihi dan dilancarkan oleh Pengarah Hospital Likas, Dr Marcus Netto.
Ia bertujuan menghargai dan memberi pengiktirafan komuniti kepada penjaga-penjaga yang telah lama bergelut dengan cabaran dalam perjalanan rawatan pesakit Kanser .
Biro Kesihatan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah turut memberikan sumbangan berupa selimut, bantal leher, dan makanan khusus kepada penjaga-penjaga yang setia menjaga pesakit tercinta mereka.
Inisiatif ini juga mencerminkan semangat kepedulian dan empati semasa musim perayaan, diharapkan sumbangan kecil ini dapat memberikan sedikit keceriaan dan semangat positif untuk mereka terus kuat dan tabah.
Dalam ucapan sempena program itu, Dr Davina berkata peranan penjaga amat besar, malah mereka perlu terus kuat walaupun ada kalanya berdepan saat beremosi kerana melihat orang tersayang dalam kesakitan dan kesedihan.
“Kami menghargai pengorbanan dan ketabahan mereka. Mereka adalah HERO sejati yang patut diberikan penghargaan,” katanya.
Turut hadir di Majlis Pelancaran itu, Timbalan Pengarah (Perubatan I), Dr Christine Lu, Timbalan Pengarah (Pengurusan), Adrian Allan, Matron Anita Abd Malek dan jururawat – jururawat yang memberikan sokongan menyeluruh dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang terbaik.
Biro Kesihatan juga mengucapkan terima kasih kepada penaja utama, HERO Sabah dan Hayat Technologies, yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini.
“Inisiatif ini bukan hanya memberikan bantuan fizikal tetapi juga untuk mewujudkan rangkaian sokongan tempatan untuk bertukar pengalaman dan memberi sokongan, supaya bersama-sama kita dapat menjadi sumber kekuatan dan harapan bagi penjaga-penjaga pesakit kanser,” kata Dr Davina.