PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili melanjutkan tempoh khidmat Pasukan Petugas Presiden sehingga 31 Mac 2024.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti yang diadakan di ibu pejabatnya di Donggongon, di sini, hari ini.
Antara isu yang dibincangkan pada mesyuarat terakhir tahun ini ialah kerjasama antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk dimulakan dengan kedua-duanya menganjurkan bersama Rumah Terbuka Krismas.
Mesyuarat itu juga diadakan untuk mengesahkan jawatankuasa bersama untuk membincangkan bidang kerjasama erat yang memanfaatkan kedua-dua pihak. Jawatankuasa ini diketuai bersama oleh Setiausaha Agung parti masing-masing.
Mesyuarat itu juga membincangkan pindaan baru-baru ini kepada perlembagaan parti yang masih belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Disebabkan ini, mesyuarat memutuskan bahawa untuk tahun 2024, amalan semasa iaitu mengadakan mesyuarat agung tahunan bagi semua cawangan dan bahagian akan diteruskan dari Januari hingga Jun dan kemuncaknya Kongres Agung yang akan diadakan kemudian pada tahun depan.
Mesyuarat itu juga mengulangi komitmen PBS dalam menyokong penuh Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) yang diketuai oleh YAB Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
PBS juga akan mengadakan retreat dalaman untuk menyediakan Ahli-ahli Majlis Tertinggi dan Ketua-ketua Bahagian awal tahun depan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pilihan raya diawalkan.