SEMPORNA: Seramai 17 orang anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Kumpulan Kidnap For Ransom (KFRG) telah ditembak mati dan 23 orang lagi ditangkap di ESS Zone antara tahun 2000 dan 2020.
Komander Eastern Command, YDH DCP Datuk Victor bin Sanjos berkata sebanyak 16 kes cubaan penculikan juga telah berjaya dipatahkan pihak berkuasa sejak 10 tahun yang lepas.
“Sejak dari tahun 2000 hingga 2020, sebanyak 25 kes kejadian penculikan berlaku di ESS Zone.
“Namun trend penculikan tersebut telah mulai berubah sabah tahun apabila ESSCOM mula mengkoordinasikan Operasi SANGGAH dan pelbagai operasi khas bersama-sama pasukan keselamatan di ESS Zone.
“Hasil daripada usaha berterusan tersebut, kita telah berjaya menumpaskan sel-sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan Kumpulan Kidnap For Ransom (KFRG),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Victor, sejak dijenamakan semula pada 18 Oktober 2023 yang lalu, terma Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) Sabah dilihat semakin memberi perkembangan positif.
Katanya ini adalah hasil keberkesanan koordinasi operasi keselamatan yang dilaksanakan oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bersama-sama pasukan keselamatan di pantai Timur Sabah.
“Ini kerana sejak dijenamakan, terma tersebut lebih lembut untuk disebut dan didengari serta banyak membantu mengubah persepsi masyarakat luar dan pelancong asing untuk mengunjungi pusat-pusat pelancongan di ESS Zone berdasarkan statistik kemasukan pelancong tempatan dan asing yang mengalami peningkatan signifikan jika dibandingkan dengan tahun 2022,” katanya.
Victor berkata keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di ESS Zone terus kekal terjamin melalui operasi keselamatan secara bersepadu yang dilaksanakan dari semasa ke semasa pada tahun ini.
“Bermula 1 Januari 2023 hingga 11 November 2023 pula, ESSCOM telah berjaya mengkoordinasi lebih 2.2 juta pemeriksaan fizikal terhadap orang, kenderaan dan bot.
“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 512 orang ditahan dan 150 buah kenderaan serta bot dirampas oleh pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Di samping itu, katanya seramai 215 orang PATI telah diusir meliputi jumlah 88 buah kapal/ bot dari sempadan negara mana kala jumlah keseluruhan nilai rampasan untuk tempoh yang sama melebihi RM17.5 juta dan nilai rampasan tertinggi daripada penyeludupan rokok dan barang kawalan dengan nilai RM14.3 juta.
“Selain itu, nilai rampasan dadah dan barang milik PATI masing-masing menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM3.3 juta,” katanya lagi.
Turur hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, YBhg. Datuk Dr. Jamaluddin bin Mohd. Ali; Timbalan Komander Eastern Command, Brigadier Jeneral Ts. Haji Roslan bin Haji Mat Saad; Ketua-ketua Staf dan Pengarah Bahagian serta pegawai kanan ESSCOM.