Pencapaian cemerlang usahawan bumiputera cetus inspirasi usahawan lain: Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian cemerlang para usahawan bumiputera akan menjadi pencetus inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk terus mencapai kecemerlangan yang sama.

Advertisements

Sehubungan itu, beliau mahu agar usahawan berjaya membantu usahawan-usahawan lain agar turut sama mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.

“Saya yakin usahawan yang menerima anugerah pada malam ini boleh menjadi pencetus inspirasi dan motivasi kepada usahawan lain untuk meneladani kepimpinan dan kecemerlangan atau menceburi bidang keusahawanan.

“Kita memerlukan usahawan-usahawan berjaya untuk melengkapkan wawasan besar negara menjadikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) jaguh serantau dan mengantarabangsakan sektor PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2023, di Hotel Mandrin Oriental, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi BBEA Mahathir Mahzan dan Ketua Pengawah Eksekutif SME Corp Rizal Nainy.

Ewon berkata, kementeriannya terbuka menerima pandangan dan cadangan pelbagai pihak mengenai pembangunan keusahawanan untuk mencapai wawasan negara menjadikan PMKS jaguh serantau.

“Itu sebabnya saya memilih untuk hadir dua majlis penyampaian anugerah berkaitan keusahawanan pada malam ini sebagai tanda sokongan saya kepada para usahawan agar sama-sama membina Malaysia yang lebih baik pada masa depan.

“Kehadiran saya dalam kedua-dua majlis anugerah ini juga adalah sokongan saya, kepimpinan negara terutamanya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) boleh bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membangunkan keusahawanan di negara ini,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 60 usahawan bumiputera, perniagaan dan personaliti korporat daripada pelbagai industri menerima pengiktirafan atas kecemerlangan perniagaan mereka.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima anugerah kategori Khas iaitu anugerah utama bagi kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atas kecemerlangan program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Anugerah diterima oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang dan Pengurus Besar YBR Rizal Abdul Ghani.

Selain itu, atas jasa dan kecemerlangan dalam industri muzik beberapa penyanyi lagenda Malaysia turut menerima anugerah, antaranya Datuk Ramli Sarip, Datuk Zanial Abidin dan Datuk Nora Ariffin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles