Persatuan pelancongan perlu agresif terokai produk pelancongan

KENINGAU: Persatuan pelancongan di negeri ini perlu lebih agresif untuk menerokai lebih banyak produk pelancongan di kawasan masing-masing, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Advertisements

Katanya, ini seiring komitmen kerajaan negeri yang mahu membangunkan Pelancongan Berasaskan Komuniti berikutan potensi besarnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

Menurutnya, aktiviti mempromosikan industri pelancongan ini merupakan agenda negeri yang memerlukan sokongan padu daripada semua pihak yang berkaitan termasuk pengusaha pelancongan, agensi dari sektor kerajaan dan swasta.

“Oleh itu saya mahu industri pelancongan terus mendapat sokongan daripada semua pihak yang terlibat serta rakyat keseluruhannya”, katanya ketika merasmikan The Crocker Range Festival 2023 (Musim yang ke-6) dan mengisytiharkan penjenamaan semula Padang Bandaran Keningau kepada Dataran Keningau di sini pada Sabtu.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik@Nordin.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Tulid, Datuk Flovia Ng dan Pegawai Daerah Keningau, Encik Peter Jonu Moinjil,.

Katanya, Kerajaan Negeri juga komited dan sentiasa menyokong program yang mampu mempromosikan destinasi pelancongan termasuk produk yang dihasilkan di sesebuah daerah di negeri ini.

Menurutnya, penganjuran The Crocker Range Festival 2023 yang berlangsung selama empat hari sejak Khamis lalu, adalah antara usaha pelbagai pihak termasuklah Pejabat Daerah Keningau dan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau untuk mempromosikan industri pelancongan di daerah ini.

Beliau berkata, The Crocker Range Festival 2023 sentiasa dinanti-nantikan oleh penduduk setempat serta pelancong dari dalam dan luar negara, juga dapat membantu membuka peluang yang lebih luas untuk usahawan menjual dan mempromosi produk mereka.

“Secara tidak langsung aktiviti ini menjadi serampang dua mata iaitu menjadi daya tarikan pelancongan dan dalam masa yang sama membantu meningkatkan pendapatan usahawan terutama usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Besarlah harapan saya agar penganjuran festival ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha meningkatkan industri pelancongan di daerah Keningau.

“Selain mempunyai pelbagai daya tarikan pelancongan semula jadi seperti bukit-bukau yang indah, air terjun dan gua, Keningau juga kaya dengan produk pelancongan bercirikan seni budaya, sejarah serta khazanah warisan yang boleh ditawarkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara”, tambahnya.

Menurutnya, festival itu adalah platform terbaik kepada usahawan IKS untuk mempromosi dan memasarkan terus produk sekali gus membantu meningkatkan ekonomi mereka setelah terjejas akibat pandemik COVID-19.

Hajiji berkata, The Crocker Range Festival 2023 dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat adalah antara tarikan kepada pengunjung luar untuk datang.

“Inisiatif seperti ini boleh dicontohi oleh daerah lain bagi menambah lagi produk tarikan pelancong di kawasan masingmasing. Ini kerana Sabah sebagai negeri yang mempunyai banyak tarikan sama ada di laut, darat, gunung dan bukit selain flora serta fauna.

“Selain daerah Keningau sendiri yang mempunyai banyak kawasan pelancongan termasuk khazanah budaya dan kraf, daerah lain di Sabah juga tidak kurang hebatnya”, tegasnya.

Lebih 100 orang usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) menyertai festival ini untuk mempromosi dan memasarkan produk mereka.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles