Oleh NT
KOTA KINABALU: Susulan kejayaan Persidangan Agung Tahunan (AGM) pertama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di SICC baru-baru ini, kini timbul persoalan sama ada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor benar-benar akan menterjemah “bayangan” yang diungkapkan untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal.
Dalam erti kata lain, adakah beliau akan membubarkan dewan undangan negeri bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum negeri pada pertengahan atau akhir tahun depan?
Dalam ucapan penggulungannya pada AGM itu, Presiden Gagasan Rakyat Hajiji, dalam apa yang dilihat sebagai penyuntik semangat, membayangkan bahawa pilihan raya negeri mungkin diadakan tahun depan, yang disambut dengan tepukan gemuruh ribuan perwakilan persidangan tersebut.
Walaupun Hajiji tidak menolak kemungkinan mengadakan pilihan raya mengejut, namun Adun Sulaman itu kemudian menegaskan bahawa idea untuk mengadakan pilihan raya awal itu ‘belum lagi terlintas dalam fikirannya’.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang masa yang sesuai untuk pilihan raya mengejut jika pilihan raya negeri memang diadakan awal.
Pada hakikatnya, tiada masa yang lebih baik untuk Hajiji, yang juga pengerusi GRS, untuk mengadakan pilihan raya mengejut selain “strike while the iron is hot”(memanfaatkan peluang yang ada selagi ia masih wujud).
Meskipun bukan tindakan yang bijak untuk mempertaruhkan nasib dalam arena politik, namun ia adalah pertaruhan yang paling pasti atau tidak dapat dielakkan mengikut logik politik.
Untuk setiap pilihan raya mengejut atau lebih awal, terdapat beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira.
Ketika ini, menurut pemerhati politik dan aktivis MA63 Remy Majangkim, terdapat beberapa faktor yang mungkin akan mungkin sedang bermain dalam fikiran Hajiji.
Beliau berkata alasan yang jelas dan signifikan mengapa Hajiji mungkin akan meneruskan pilihan raya mengejut tahun depan adalah kerana lonjakan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Hajiji seperti yang ditunjukkan semasa AGM Gagasan Rakyat yang baru selesai.
Remy berkata majoriti perwakilan ke AGM Gagasan Rakyat berada dalam mood yang baik untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang. Tetapi adakah mereka mempunyai rekod prestasi untuk ditunjukkan?
“Nampaknya mereka (penyokong Gagasan Rakyat) berkeyakinan penuh bahawa pemimpin Gagasan Rakyat Hajij, yang menunjukkan kepimpinan yang sederhana, berani, dan berkesan, mampu merealisasikan impian mereka pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.
Remy berkata dari segi populariti, persoalan bila untuk mengadakan pilihan raya mengejut tertakluk sama ada Hajij mahu melakukannya ketika dia berada di puncak atau selepas sentimen rakyat berkurangan.
Remy berkata faktor lain yang menyumbang kepada logik pilihan raya mengejut tahun depan ialah ia tidak memerlukan Hajiji terikut- ikut rentak kalendar politik.
“Kecaman biasa terhadap pilihan raya mengejut ialah ia mengganggu kerja kerajaan dan dasar untuk dibentuk dengan kata lain, parti pemerintah mendapat kritikan kerana memaksa pilihan raya daripada menumpukan kepada tugas YB mereka,” tambahnya.
Menurut Remy, setakat ini parti pembangkang Sabah masih bercelaru kerana belum ada kerjasama formal yang dicapai, dan ini mungkin memberi kelebihan kepada Gagasan Rakyat/GRS pimpinan Hajiji.
Tambahan pula, beliau berkata Pakatan Harapan (PH) Sabah dilihat sebagai “rakan kongsi setia” dalam kerajaan negeri GRS namun desakan UPKO/PH kebelakangan ini agar perkongsian kuasa (jawartan) di peringkat pentadbiran akar umbi dilaksanakan menimbulkan “teka teki politik” yang belum pasti apa kesudahan.
Remy meramalkan bahawa pertembungan sailang (hebat) antara GRS PH dan Warisan, BN, KDM, Kerjasama (Anak Negeri) akan berlaku pada pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata, walaupun GRS/PH yang memerintah dikatakan mempunyai kelebihan, blok pembangkang diramal mampu melakukan kejutan.
Difahamkan, kombinasi Warisan dan BN dilaporkan memberi kelebihan kepada parti pembangkang negeri itu khususnya di bahagian pantai timur, manakala KDM semakin popular terutama di pedalaman dan bahagian pantai utara Sabah.
Buat masa ini, parti pembangkang lain termasuk Anak Negeri pimpinan Datuk Henrynus Amin dan Perikatan Nasional (Bersatu Sabah) pimpinan Datuk Dr Ronald Kiandee masih lag “oikum ikum” atau belum menyatakan pendirian mereka sama ada mengambil bahagian PRN akan datang atau sebaliknya.