SANDAKAN: Pasukan Bola Keranjang Kinabatangan hanya mampu muncul sebagai naib juara Kejohanan Bola Keranjang Umur 17 dan Ke Bawah Peringkat Negeri Sabah Kali Ke 52 Tahun 2023 yang berlangsung di Stadium Bola Keranjang Tawau pada Ahad.
Pasukan Kinabatangan yang menampilkan gabungan pemain muda dari Sandakan dan Kinabatangan hanya mampu mengutip sebanyak 52 mata, tewas kepada Pasukan Bola Keranjang Kota Kinabalu yang berjaya mengutip 85 mata dalam pertandingan akhir.
Tempat ketiga kejohanan itu dimenangi oleh Pasukan Bola Keranjang Tawau dan pasukan Labuan di tempat keempat.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Bola Keranjang Sabah, disertai oleh daerah Tawau, Wilayah Persekutuan Labuan, Sandakan,Keningau, Kudat, Ranau, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Papar, Penampang dan Kinabatangan.
Pengurus Pasukan Bola Keranjang Kinabatangan, Encik K.T. Tan berkata, pemain-pemain pasukan itu terdiri daripada pemain berbakat dari daerah Sandakan dan Kinabatangan.
“Ini merupakan pasukan gabungan baharu yang melibatkan pemain daripada kedua-dua daerah itu. Walaupun hanya mampu muncul Naib Juara, ia merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan”, katanya ketika ditemui.
K,T Tan yang berasal dari Sandakan juga menerima penghargaan daripada Presiden Persatuan Persatuan Bola Keranjang Sabah, Encik Phan Chee Yong atas jasa dan sumbangannya menaja pasukan Kinabatangan ke kejohanan peringkat negeri.