Belanjawan KUSKOP 2024 diluluskan parlimen

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) 2024, kelmarin.

Advertisements

Kuskop telah diperuntukkan sebanyak RM778.8 juta di bawah Belanjawan 2024, iaitu sebanyak RM547 juta bagi perbelanjaan pembangunan dan RM231.8 juta bagi perbelanjaan mengurus.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan ini yang merekodkan pertambahan RM46.4 juta berbanding belanjawan tahun 2023, khususnya perbelanjaan pembangunan yang ditambah sebanyak RM26.8 juta.

Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan dan penyelarasan inisiatif keusahawanan berjalan lancar dan tidak berlaku pertindihan, struktur tadbir urus yang komprehensif telah dibentuk di peringkat persekutuan dan negeri.

Antaranya, Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN), Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi PMKS (HLTF) dan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Keusahawanan Nasional (JTPKN) dan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD).

“Selain itu, KUSKOP melalui SME Corp. memantau program-program pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan oleh 68 Kementerian/ Agensi serta tujuh kerajaan negeri melalui platform SMEIPA atau Pelan Tindakan Bersepadu PMKS.

“Melalui platform ini, SME Corp. melaksanakan penilaian program pembangunan PMKS dan dibentangkan dalam mesyuarat MPUPK dan MPKN,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, kelmarin.

Mengenai PMKS milikan wanita yang berdaftar di negara ini, Ewon berkata, sebanyak 186,930 PMKS wanita berdaftar berdasarkan Banci Ekonomi 2016.

“Jumlah PMKS milikan wanita akan dikemaskini berdasarkan dapatan daripada Banci Ekonomi 2023 oleh DOSM yang akan diterbitkan pada Ogos 2024,” katanya.

Ewon berkata, KUSKOP telah menyediakan program dan skim pembiayaan khusus kepada usahawan wanita.

“Antara program yang dilaksanakan pada tahun ini ialah Skim pembiayaan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada 323,542 orang usahawan wanita dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion, Skim Pembiayaan TEKUN-Wanita kepada 3,801 usahawan wanita dengan peruntukan RM20 juta,

“Program BRPlus – i BizLady oleh Bank Rakyat yang telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM8.72 juta kepada 86 orang usahawan wanita dan Program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) oleh PERNAS melibatkan seramai 19 usahawan wanita dengan penyaluran peruntukan RM4.8 juta,” katanya.

Berkenaan dengan Institut Keusahawnan Negara (INSKEN) Ewon berkata, INSKEN telah merancang untuk melaksanakan pelbagai program latihan, bimbingan dan konsultasi perniagaan bagi tahun 2024.

Katanya, program-program itu meliputi Kursus Asas Keusahawanan dan Kursus Urus Tunai Lanjutan termasuk pengurusan kewangan.

“Dengan peruntukan tersebut, pelbagai program akan dilaksanakan di seluruh negara melalui penyertaan umum dan secara kolaborasi bersama agensi-agensi di peringkat negeri dan persekutuan kerajaan yang lain.

“Bagi tahun 2024, INSKEN telah merancang untuk melaksanakan 233 program yang dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 8,000 usahawan di seluruh negara,” katanya.

Mengenai TEKUN Nasional, beliau berkata, dengan proses permohonan yang mudah dan 171 cawangan TEKUN di seluruh negara menjadikan TEKUN Nasional menjadi pilihan usahawan mikro untuk mendapatkan bantuan pembiayaan.

“Sasaran pembiayaan 2024 sebanyak RM600 juta dan dana menggunakan wang kutipan bayaran balik.

“Bagi mengelak usahawan membuat pinjaman dengan ceti, TEKUN telah mempermudahkan proses permohonan dengan mengurangkan dokumentasi kepada 4 dokumen wajib sahaja iaitu, Salinan Kad Pengenalan, Gambar premis, Salinan penyata bank dan Salinan SSM (usahawan mikro);

“Tempoh proses kepada tujuh hari bekerja dan penyaluran pembiayaan dalam 3 hari bekerja berbanding 21 hari bekerja sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sehingga Mac 2023, pembiayaan telah disalurkan kepada 255 peserta Agropreneur Muda dengan nilai pembiayaan RM8.9 juta.

“Bagi tahun 2023, TEKUN telah menyalurkan RM23.47 juta (1,989 usahawan) dalam sektor pertanian,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles