TEKUN Nasional luluskan pembiayaan RM922.6 juta setakat Oktober tahun ini

KUALA LUMPUR: TEKUN Nasional meluluskan pembiayaan sebanyak RM922.6 juta atau 42,383 pembiayaan bagi tahun ini iaitu sehingga 31 Oktober.

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM467.2 juta pembiayaan pertama kali kepada seramai 26,481 usahawan.

Beliau berkata, secara kumulatif, jumlah pembiayaan TEKUN Nasional sejak penubuhannya pada 1998 adalah berjumlah RM8.98 bilion.

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional berperanan membantu usahawan mikro dengan menyediakan modal perniagaan melalui pembiayaan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (Pulai) yang bertanya apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh TEKUN untuk mencapai lebih ramai usahawan baru yang ingin menceburi bidang perniagaan terutama IKS dan adakah kementerian bercadang melaksanakan program start up usahawan TEKUN bagi menyediakan modal kepada usahawan baru ini memulakan perniagaan.

Ewon berkata, dalam usaha meningkatkan bilangan usahawan menceburi bidang perniagaan, TEKUN telah melaksanakan skim-skim pembiayaan baharu.

Skim-skim itu ialah Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT), Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Usahawan Kraf dan Program TEKUN Mobilepreneur.

Beliau berkata, setakat ini seramai 779 usahawan menerima pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) melibatkan pembiayaan RM5.9 juta.

“Manakala Skim Pembiayaan Usahawan Tamu seramai 581 usahawan melibatkan pembiayaan berjumlah RM2.6 juta, Skim Pembiayaan Usahawan Kraf, seramai 11 usahawan melibatkan pembiayaan RM296,000 dan Program TEKUN Mobilepreneur seramai 731 usahawan dengan pembiayaan RM6 juta,” katanya.

Ewon berkata, bagi menggalakkan lebih ramai usahawan mendapat pembiayaan daripada TEKUN, agensi itu telah melaksanakan pelbagai hebaan.

“TEKUN Nasional menyertai pameran atau program usahawan yang diadakan oleh KUSKOP dan agensinya seperti Showcase Satu Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi memberi penjelasan secara langsung mengenai skim-skim pembiayaan TEKUN.

“TEKUN Nasional juga mempromosikan skim-skim pembiayaan TEKUN ini melalui siaran radio dan televisyen, laman sesawang dan media sosial rasmi TEKUN,” katanya.

Mengenai cadangan supaya TEKUN Nasional melaksanakan program start up kepada usahawan yang baharu memulakan perniagaan, Ewon berkata, TEKUN Nasional telah menawarkan Skim Pembiayaan TEKUN Niaga yang menyediakan kemudahan modal kecil perniagaan dengan nilai pembiayaan di antara RM1,000 hingga RM100,000 kepada semua usahawan mikro termasuk kepada bakal usahawan.

Bagi tahun 2024, peruntukan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 bagi Skim Pembiayaan TEKUN Nasional ialah sebanyak RM330 juta yang turut merangkumi Skim Pembiayaan TEKUN Niaga.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles