SMK Perempuan Sandakan terima pengiktirafan MBOR atas sumbangan kaktus terbesar kepada sekolah

SANDAKAN : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan di sini menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) atas sumbangan kaktus terbesar kepada sekolah (Largest Cactus Donation For School).

Advertisements

Menerusi program itu, sebanyak 2,926 pokok kaktus hasil sumbangan pelajar, warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni serta warga setempat telah berjaya dikumpulkan.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata, Program MBOR itu merupakan satu wadah dalam mewujudkan kerjasama yang erat antara komuniti, sektor korporat dengan pihak sekolah.

Katanya, cara itu sekaligus dapat membina jalinan ukhwah yang padu dalam memastikan sekolah berada dalam landasan kecemerlangan yang ingin dicapai.

“Saya yakin melalui Program MBOR ini juga dapat melatih murid-murid tentang “soft skill” yang sangat perlu apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak.

“Murid-murid adalah aset negara. Sebagai modal insan yang ingin kita bangunkan, mereka tidak seharusnya dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran semata-mata, tetapi juga mesti diperkukuhkan dengan akhlak yang terpuji dan nilai-nilai murni,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penyerahan Sijil “The Malaysia Book of Records” SMK Perempuan bagi “Largest Cactus Donation For School” di sekolah itu, pagi ini.

Hadir sama, wakil daripada MBOR, Lee Pooi Leng, Pengetua SMK Perempuan, Bernadeth De Guzman dan Yang Dipertua PIBG SMK Perempuan, Haji Otoh Sibik Haji Sahak.

Program MBOR yang bertemakan ‘Largest Cactus Donation For School’ itu julung kali diadakan untuk sekolah itu yang mana menekankan tiga objektif utama iaitu penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum, mendapat sijil pengiktirafan daripada MBOR dan memupuk sikap cinta akan alam sekitar.

Suhaimi berharap program seumpama itu akan diteruskan pada masa hadapan bagi menggalakkan penglibatan murid dalam aktiviti ko-kurikulum agar mereka bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mampu bersaing dengan sekolah-sekolah lain.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles