Oleh Dr Peter Jr Naintin,
Ketua Bahagian UPKO Libaran
Ketua Penerangan UPKO Malaysia
KOTA KINABALU: Sejak Krisis Politik Sabah yang berlaku pada awal tahun 2023, Rakyat yang berpendapat bahawa PH Sabah memilih untuk menyokong Kerajaan Sabah yang terbentuk pada ketika itu adalah untuk menjaga dan memelihara kestabilan politik di Sabah.
Dengan adanya kestabilan tersebut, pihak Kerajaan Sabah mampu untuk fokus, menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar untuk pembangunan ekonomi dan sosial.
Bagi membuktikan bahawa terdapat keikhlasan dan kerjasama politik antara GRS-PH di peringkat akar umbi, amatlah penting untuk pihak Kerajaan Sabah yang ada pada ketika ini untuk melaksanakan formula 60:40, seperti mana yang telah dilaksanakan oleh wakil rakyat di DUN Kadamaian.
Rakyat tidak perlu tunggu sehingga PRN Sabah 2025, dan dasar ini boleh dilaksanakan dengan semangat perkongsian bagi parti politik yang menyokong Kerajaan Sabah demi perpaduan rakyat di akar umbi.
Rakyat mendapat maklumat bahawa tempoh perkhidmatan pegawai-pegawai di Mahkamah Anak Negeri (MAN) di seluruh Sabah akan berakhir pada hujung tahun 2023 ini. Terdapat jawatan seperti Ketua Daerah (KD), Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Masyarakat Cina, dan Ketua Kampung (KK) untuk dipohon atau dicadangkan dan dipertimbangkan di setiap daerah oleh Wakil Rakyat parti komponen Kerajaan Sabah.
Pihak MAN telah berkongsi Borang Permohonan rujukan KUHEAN:100-0/3Jld/1(13) Semakan Ogos 2018 untuk para pemimpin tempatan memohon jawatan-jawatan tersebut.
Ini bermaksud bahawa pelantikan bagi jawatan-jawatan ini nanti adalah untuk tempoh masa sekurang-kurangnya dua tahun (2024-2025), iaitu sehingga PRN Sabah yang akan datang. Ini akan menjadi kriteria yang penting untuk menunjukkan tahap perkhidmatan, pelaksanaan dan penambahbaikan mampu dilaksanakan di peringkat akar umbi.
Sekiranya terdapat beberapa calon yang berkebolehan untuk jawatan-jawatan tersebut, saya mensyorkan pihak Kerajaan untuk meluluskan mekanisma pemilihan secara undian oleh penduduk setempat.
Inilah masa yang sesuai untuk Rakyat memilih pemimpin mereka yang mempunyai pendidikan, pengalaman dan kebolehan untuk menjalankan tanggungjawab dan tugas mereka di peringkat kampung dan daerah.
Selain daripada undian menggunakan kertas undi, salah satu cara yang boleh kita lakukan ialah dengan kaedah undian secara elektronik (QR Code) seperti yang dijalankan untuk memilih pemimpin muda bagi Program Dewan Belia Sabah oleh pihak Kerajaan baru-baru ini.