Sabah perlu namakan semula jawatan KM kepada Premier

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menyambut baik cadangan menamakan semula jawatan Ketua Menteri kepada Premier seperti Sarawak.

Advertisements

Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, selaras dengan semangat Borneo dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sabah perlu mengikut jejak langkah Sarawak yang kini menggunakan Premier.

“Sudah tiba masanya Sabah turut mengambil tindakan dan langkah yang sama menamakan semua jawatan Ketua Menteri kepada Premier memandangkan Sabah dan Sarawak merupakan 2 wilayah yang bersama-sama membentuk negara Malaysia.

“Tanpa wilayah Sabah dan Sarawak, maka tiada negara Malaysia. Yang ada hanya Semenanjung Tanah Melayu (Malaya). Justeru menamakan semula jawatan Ketua Menteri kepada Premier amat penting keran ia akan menjadikan Sabah lebih dihormati sebagai sebuah wilayah yang setaraf dengan Semenanjung”, katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Rabu mengenai cadangan menamakan semula jawatan itu dalam siri artikel sempena tahun ketiga beliau memegang jawatan itu yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan.

Hajiji dipetik sebagai berkata, cadangan sama ada Sabah akan menamakan semula jawatan itu kepada Premier seperti Sarawak, turut dibincangkan.

“Sesetengah orang mahukan ‘Premier’ manakala yang lain lebih suka ‘Ketua Menteri’.

“Sarawak telah meminda Perlembagaan Sarawak bagi maksud ini dan walaupun Persekutuan masih belum mengubah Perlembagaan Persekutuan, mereka sudah mengiktiraf dan menghormati keputusan Sarawak,” katanya.

Mohd Nazri berkata, tindakan Sabah mengikut jejak langkah Sarawak sudah pasti akan memudahkan Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kedua-dua negeri sebagai wilayah yang setaraf dengan Semenanjung.

Beliau berpendapat, Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim sudah pasti tidak keberatan memberi pengiktirafan kepada wilayah Borneo dan mengubah Perlembagaan Persekutuan sekiranya Sabah telah berbuat demikian seperti Sarawak.

Katanya, Anwar telah berulang kali beri jaminan akan melaksanakan segala perjanjian yang telah dimenterai dalam MA63.

“Tanggungjawab saya adalah melaksanakan janji dan perjanjian yang telah menterai oleh pemimpin dan pejuang negara semasa pembentukan Malaysia untuk diselesaikan.

“Beberapa perkara lain yang termaktub saya telah beri jaminan bukan untuk dirunding, tetapi untuk dilaksanakan,” kata Anwar.

Mohd Nazri juga menyambut baik cadangan Hajiji untuk menaikkan martabat Pembantu Menteri dengan menamakan mereka sebagai Timbalan Menteri dan menambah bilangan kementerian kepada 14 daripada 11 pada masa ini.

Menurut Hajiji, beliau telah mencadangkan perkara ini dan Kabinet Negeri telah bersetuju dan berharap rang undang-undang berkaitan dapat dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada masa yang sesuai.

“Pindaan Perlembagaan Negeri memerlukan kelulusan dua pertiga dalam DUN, oleh itu saya mengharapkan sokongan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Timbalan Menteri membawa makna lebih penting dan kedengaran lebih baik,” kata Hajiji mengulas rasional pertukaran nama itu.

Menurut Mohd.Nazri, Sabah merupakan sebuah wilayah yang begitu luas dan memerlukan lebih banyak kementerian yang khusus diwujudkan untuk memenuhi keperluan pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles