KOTA KINABALU: Kesediaan presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick untuk berbincang dengan pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mendapatkan “restu” untuk bertanding kerusi DUN Limbahau membayangkan parti yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu sedia bekerjasama dengan GRS bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Aktivis politik Mohd Zaki Harry Susanto berkata kesediaan UPKO menjalin kerjasama dengan GRS untuk bersama-sama bertarung menentang blok pembangkang itu dijangka akan mengukuhkan lagi jentera pilihan raya parti pemerintah kerajaan negeri itu.
“Tidak syak lagi PH Sabah, terutama DAP, mempunyai kekuatan tersediri di kawasan bandar manakala UPKO semakin mendapat sokongan rakyat di kawasan KDM.
“Saya berpendapat perkembangan terbaharu ini akan menambah “kemeriahan” aksi-aksi para pemain politik Sabah yang sukar diramal,” katanya.
Zaki berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ewon di Papar baru-baru ini.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen UPKO Zon D (Papar, Kimanis dan Beaufort), di Dewan Kg.Biau, Ewon dipetik sebagai berkata bahawa UPKO mewakili PH berhasrat untuk bertanding di kerusi DUN Limbahau pada PRN akan datang.
Bagaimanapun, Ewon berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selaku rakan dalam kerajaan negeri dan rakan PH.
Menurut Zaki, gabungan GRS-PH berkemungkinan akan berdepan dengan cabaran getir parti-parti pembangkang di peringkat negeri, terutama Parti Warisan Sabah (Warisan), UMNO Sabah dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan Datuk Peter Anthony.
Beliau turut meramalkan Parti Perikatan Nasional (PN) Sabah pimpinan Datuk Dr Ronald Kiandee akan bertanding sebagai kuasa ketiga pada PRN, sekali gus menyaksikan pertandingan lebih tiga penjuru di semua 73 kerusi DUN.
“Kesediaan PH Sabah bekerjasama dengan GRS memberi kelebihan kepada parti pemerintah negeri sedia ada, namun kekuatan tersendiri Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, UMNO Sabah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan KDM juga tidak boleh dipandang remeh, khususnya di bahagian pantai timur.
“Ini bermakna PRN Sabah akan datang dijangka hebat dan menarik selain sukar diramal,” katanya.
Sebelum ini, Hajiji menzahirkan keyakinan kerjasama baik dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH negeri mampu membawa kejayaan kepada gabungan itu pada PRN akan datang.
Zaki berkata kerjasama erat antara GRS dan PH wajar disokong oleh semua pihak demi kebaikan, sekali gus menjayakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya.
Beliau berkata strategi itu sebagai satu jajaran lokal dan formula tempatan yang meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan (Sabah First) dan memposisikan Sabah sebagai keutamaan dalam komponen agenda nasional.
“Membelakangi kerajaan persekutuan bererti menyisihkan diri daripada arus pembangunan perdana. Kita tidak boleh ketinggalan kerana ia akan menyebabkan jurang perbezaan ekonomi serta sosial yang semakin luas. Adalah lebih bijaksana untuk memperkasakan parti lokal dan menjadi pemain yang berkesan dalam gelanggang politik peringkat nasional, ” katanya.