Guna platform media sosial untuk sebar maklumat bermanfaat: Annabell

KOTA KINABALU: Orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat yang bermanfaat kepada masyarakat.

Advertisements

Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Annabell Perian berkata platform media sosial yang berkembang seiring teknologi semasa seharusnya menjadi satu kelebihan yang digunakan untuk jaringan perhubungan dan sumber maklumat yang mampu membawa faedah kepada masyarakat.

“Wajar untuk kita faham bahawa media sosial adalah sebuah platform untuk kita bersosial dan menambah kenalan, secara dalam talian.

“Dengan media sosial, kita boleh berkongsi maklumat, info semasa, foto dan video berfaedah yang boleh digunakan oleh semua penggunakan media sosial yang lain, bagi tujuan kebaikan.

“Misalnya berkongsi info terkini, ilmu-ilmu yang bermanfaat, tips-tips dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Annabell memberitahu bahawa salah guna platform media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab mampu membawa kepada perpecahan dan perselisihan dalam kalangan masyarakat.

“Keharmonian boleh terjejas jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial untuk menyebarkan dakyah yang tidak baik.

“Memfitnah, menipu dan perkongsian segala ‘posting’ yang bertujuan memburukkan atau menjatuhkan imej seseorang atau sesuatu pihak sebenarnya adalah tidak baik.

“Ini mampu menjejaskan keharmonian, menimbulkan huru-hara, menggugat kestabilan dalam perpaduan sekaligus mampu memberi kesan lebih besar kepada seluruh komuniti masyarakat,” katanya lagi.

Tambah Annabell lagi, pengguna media sosial perlu bijak untuk menilai dan jangan mudah terpengaruh dengan sebaran maklumat yang tidak sahih dan menyebarkannya.

“Kita diingatkan dengan slogan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia sejak mula wujudnya media sosial, jika semua masih ingat lagi, slogan ‘Tidak pasti jangan kongsi’.

“Ini bukan sekadar slogan untuk kempen jangka masa pendek sebenarnya, tetapi kita kena faham nilai disebalik slogan ini.

“Jika kita menyebarkan perkara yang kita sendiri sebenarnya tidak pasti, bermakna kita turut sama tergolong dalam kalangan pengguna media sosial yang mementing diri dan tidak peka terhadap tanggungjawab semasa melayari laman sosial media,” katanya.

Annabell dalam pada itu turut mengulas isu sebuah hantaran media sosial Facebook yang berunsur fitnah ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri.

Katanya, hantaran seumpama itu adalah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tindakan sewajarnya perlu diambil untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat.

“Tindakan keras wajar diambil dan diberikan kepada penyebar maklumat palsu yang berunsur fitnah kepada imej beliau (Ketua Menteri).

“Jangan cemari kandungan media sosial kita dengan perkara seumpama itu kerana kita semua harus berpegang kepada prinsip menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab.

“Setiap satu hantaran kita di media sosial akan kekal dan dilihat kelak oleh anak cucu dan generasi akan datang, malu jika generasi akan datang melihat sifat-sifat tidak bertanggungjawab dan hasad dengki seumpama ini di media sosial,”katanya lagi.

Terdahulu, Annabell yang juga merupakan Ketua Wanita PGRS Bahagian Sungai Sibuga bersama Ketua Bahagiannya, Datuk Amirshah Yaakub dan ahli-ahli tampil membuat laporan polis berkenaan ‘posting’ fitnah ke atas imej Ketua Menteri dan kerajaan negeri itu.

Dalam hantaran media sosial di Facebook, Hajiji didakwa menyalahguna kuasa kelulusan permohonan tanah di Kudat yabg dikaitkan dengan perlombongan pasir silika.

Isnin lalu, Hajiji yang juga menafikan tuduhan tersebut dan beliau menegaskan bahawa semua permohonan berkaitan pengambilan tanah dibuat dengan mengikut prosedur dan undang-undang.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles