KOTA KINABALU, Jabatan Perancang Bandar Dan Wilayah Negeri Sabah dan World Wide Fund For Nature – Malaysia
(WWF-Malaysia) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) di sini hari ini untuk penyediaan Pelan Daerah untuk enam daerah di Sabah.
Di samping mengemas kini Pelan Struktur Negeri Sabah 2033 dan Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap.141), ini adalah satu usaha untuk memastikan agar perancangan dan pembangunan tanah di Sabah adalah bersepadu, komprehensif dan holistik.
Enam daerah tersebut ialah Kalabakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Beluran dan Kinabatangan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang menyaksikan pemeteraian MoU ini mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak dan berkata, MoU tersebut merupakan contoh perkongsian dan kerjasama antara Kerajaan dan badan bukan kerajaan demi manfaat Sabah dan rakyatnya.
“Saya yakin, sepanjang siri perbincangan dan usaha untuk merealisasikan kerjasama ini, kita telah mengambil kira dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerangka dasar Malaysia MADANI dan matlamat SDG (Sustainable Development Goals),” katanya.
Dr. Joachim berkata, perancangan spatial adalah penting dalam memberi panduan ke arah mencorak pembangunan, kegunaan dan pemeliharaan tanah di sesebuah negeri.
Di Sabah katanya, perancangan spatial ini terkandung dalam Rancangan Struktur dan seterusnya diimplementasikan dalam Skim Perancangan: Pelan Daerah dan PelanTempatan di bawah Ordinan Perancangan Bandar dan Desa, (Sabah Cap 141).
Kedua-dua dokumen perancangan ini merupakan dokumen Statutori Perancangan yang menjadi panduan kepada perancangan dan pembangunan guna tanah di peringkat negeri dan daerah, tambahnya.
“Saya difahamkan bahawa kerjasama yang akan dilaksanakan melalui MoU ini adalah penyediaan Pelan Daerah untuk enam daerah di Sabah. Di samping mengemas kini Pelan Struktur Negeri Sabah 2033 dan Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah Cap.141), ini adalah untuk memastikan agar perancangan dan pembangunan tanah di Sabah adalah bersepadu, komprehensif dan holistik.
“Dengan adanya dokumen perancangan yang bersepadu, komprehensif dan holistik, penggunaan pelbagai gunatanah seperti perumahan, industri, rekreasi, pertanian dan sumber alam semula jadi dapat diselaraskan bagi mewujudkan persekitaran yang seimbang dan boleh didiami (liveable).
“la penting dalam membantu mewujudkan keadaan yang stabil dan selamat untuk menarik pelabur serta mengalakkan pembangunan mampan yang seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat dari segi ekonomi, sosial dan seterusnya penjagaan alam sekitar. Begitu juga dalam menangani isu-isu perubahan iklim seperti kenaikan paras air laut, serta peningkatan kekerapan kejadian cuaca ekstrem, perancangan spatial memainkan peranan penting,” katanya.
WWF-Malaysia telah melaksanakan Program Landskap Sabah di empat kawasan landskap tumpuan iaitu Landskap Tawau-Kunak, Landskap Tabin, Landskap Lower Sugut dan Landskap Heart of Borneo yang memberi penekanan terhadap empat elemen utama perancangan spatial di Sabah iaitu pemeliharaan hutan, pemulihan hutan, kesejahteran komuniti tempatan, dan pembangunan gunatanah lestari.
Dalam program ini, tumpuan pemuliharaan dan pembangunan lestari dengan
mengintegrasikan perlindungan hutan, hidupan liar dan sungai, pentauliahan pensijilan RSPO (Roundtable on Sustainable Palm Oil) dan pemulihan koridor ekologi (ecological corridors) serta riparian resewes telah dilaksanakan.
“Selain itu, WWF-Malaysia juga telah melaksanakan usaha-usaha mengenalpasti dan memulihkan kawasan hidupan liar yang mempunyai nilai ”ecological/connectivity” yang penting dan kawasan sumber sediada.
Maklumat dan cadangan yang diperolehi daripada usaha tersebut secara langsung akan membantu menyumbang kepada perancangan spatial yang bersepadu, komprehensif dan holistik untuk Sabah.
“Pada masa yang sama, WWF-Malaysia melalui program- program konservasinya juga menyokong dasar Kerajaan Negeri Sabah untuk melindungi sepenuhnya 30 peratus daripada keluasan tanahnya dan daripada litupan hutan semulajadinya,” ujarnya.
Dr. Joachim berkata, bagi mencapai matlamat perancangan spatial ini, adalah menjadi tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah untuk memastikan agar dokumen perancangan yang telah disediakan akan diterima pakai dan diwartakan.
“Saya juga menggesa PBT dan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah untuk bekerjasama erat dengan WWF-Malaysia dalam penyediaan dokumen perancangan statutori ini.
“Penyediaan dokumen perancangan ini juga memerlukan kerjasama yang utuh dan bersepadu daripada semua pihak, termasuklah agensi-agensi kerajaan di bawah pelbagai kementerian lain.
“Kita sedar, kita tidak boleh bekerja in silo dan bersendirian. Setiap agensi atau organisasi kerajaan yang lain mempunyai kelebihan, kepakaran dan kekuatan masing-masing yang boleh dikongsi dan dioptimumkan demi negeri Sabah dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.
Dr. Joachim juga menyeru semua Pegawai Daerah dan Pegawai Eksekutif yang terpilih dalam penyediaan pelan ini untuk turut mengambil langkah proaktif dan terlibat sama dalam pelaksanaan penyediaan Pelan Daerah ini.
“Kita akan mengambil kira pandangan serta saranan daripada pihak berkaitan untuk pembangunan yang lebih baik dan lestari di daerah masing-masing,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Konservasi World Wide Fund For Nature — Malaysia (WWF-Malaysia), Dr Henry Chan; Pengarah Bersekutu
Ketua Pemuliharaan Sabah, Dr Robecca Jumin; wakil Setiausaha Tetap Kementerian, Arkitek Lanskap, Nurulhayati Awang More; serta Pegawai-pegawai Eksekutif.