KKTP serah 18 buah lori baharu kepada 11 PBT

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) menyerahkan 18 buah lori baharu kepada 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini hari ini untuk meningkatkan produktiviti kerja-kerja pembersihan di kawasan masing-masing.

Advertisements

PBT tersebut ialah Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Keningau, Majlis Daerah Ranau, Majlis Daerah Kuala Penyu, Majlis Daerah Sipitang, Majlis Daerah Beluran, Majkis Daerah Telupid, Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Beaufort dan Majlis Daerah Kota Marudu.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang yang menyempurnakan penyerahan tersebut berkata, lori-lori ini disediakan kepada PBT-PBT yang terpilih untuk meningkatkan produktiviti dalam kerja-kerja pembersihan seperti mengangkut sampah sarap dari kawasan kediaman hingga ke tempat pelupusan sampah.

Katanya, pemilihan PBT tersebut adalah berdasarkan kepada PBT yang memerlukan lori dalam keadaan sangat mendesak kerana ada di antara lori yang sudah rosak dan tidak lagi boleh digunakan.
 
“Saya mewakili Kementerian mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan (MoF) dan berharap dapat menambah lagi peruntukan dalam agihan pemberian peruntukan di tahun hadapan, 2024. Dengan adanya peruntukan yang mencukupi, maka pembelian kenderaan seperti lori ini boleh ditambah lagi bagi diedarkan ke PBT yang lain berdasarkan permintaan PBT yang meningkat,” katanya.

Secara keseluruhannya, program pada hari ini adalah seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di mana pihak Kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat dengan penyediaan kemudahan seperti lori dan lain-lain.
 
Dr. Joachim berkata, penyediaan lori-lori kepada PBT ini adalah sejajar dengan  Pelan Strategik 2021-2025, iaitu meningkatkan kemudahan logistik di semua PBT Sabah.

“Justeru, pihak Kementerian melalui Sektor Pembangunan: Bahagian Pengurusan Sisa Pepejal akan beterusan untuk membantu PBT-PBT di seluruh negeri Sabah,” tambahnya.
 
Dr. Joachim juga berharap semua Pegawai Eksekutif (PE) terbabit dapat memastikan lori yang telah disediakan ini digunakan sepenuhnya dengan efisien dan efektif bagi memberi manfaat penduduk setempat di daerah masing-masing.

“Kamu juga perlu memastikan lori-lori dijaga dengan baik supaya jangka hayat lori dapat bertahan dengan lebih lama,” tegasnya.

Beliau turut mendedahkan, pada masa akan datang, Kementerian bercadang untuk menggunakan sistem GPS Tracker pada setiap lori untuk meningkatkan sistem pengurusan kenderaan.
 
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Sektor Pembangunan: Bahagian Pengurusan Sisa Pepejal dan terima kasih kepada Syarikat Universal Motor (M) Sdn. Bhd. kerana menjayakan Majlis Penyerahan Kenderaan/ Jentera kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun 2023 ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri II, Datuk Mohd Hamsan Awg Supain; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Sdn Bhd, Masashi Nujimo; Senior Commercial Vehicle Sales Manager, Chin Hau Yen; dan wakil dari Isuzu Commercial Vehicle East Malaysia, Eelluddin Firdaus; Pengarah Urusan Universal Motor Sdn Bhd, Chok Yun Kiong, Pegawai-pegawai Eksekutif, Ketua-ketua Sektor serta pegawai KKTP.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles