Showcase SDSI MADANI Peringkat Kebangsaan di Melaka tampilkan keunikan tersendiri: Ewon

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) MADANI Peringkat Kebangsaan di Melaka bakal menampilkan keunikan tersendiri dengan menghimpunkan pelbagai produk unik melambangkan identiti setiap negeri di seluruh negara.

Advertisements

Beliau berkata, Showcase SDSI MADANI selama tiga hari bermula 6 Oktober ini akan berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka dan majlis perasmian pada 7 Oktober.

“Antara konsep dan keunikan Showcase SDSI MADANI berbanding karnival keusahawanan lain ialah Aktiviti Jualan Usahawan SDSI yang menghimpunkan produk-produk unik dan melambangkan identiti setiap negeri.

“Sebanyak 14 buah pavilion negeri melibatkan 145 reruai yang dihias mengikut keunikan negeri dan budaya tradisional masing-masing.

“Selain itu, Showcase SDSI MADANI juga mengadakan Jualan Anekarasa MADANI yang menawarkan jualan menu-menu istimewa daripada 14 buah negeri. Konsep yang diketengahkan ini selari dengan agenda membangun Malaysia MADANI melalui konsep perpaduan dalam kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual secara langsung menerusi Malaysia Hari Ini (MHI), di Sri Pentas TV3, di sini, hari ini.

Ewon berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program itu, antaranya Jualan Usahawan SDSI; Program Padanan Perniagaan; Akses kepada Peluang Pembiayaan (BIAYA Usahawan SDSI); Seminar Keusahawanan; Reruai Kementerian dan Agensi; Pitching Usahawan SDSI dan Jualan Anekarasa MADANI.

“Selain itu Jualan MADANI Koperasi, Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI serta “Malam Cinta Rasul”, Malam “Gema Irama MADANI” dan Cabutan bertuah juga turut diadakan,” katanya.

Katanya lagi, Showcase SDSI MADANI bertujuan menyediakan medium pemasaran produk dan perkhidmatan SDSI yang strategik khusus untuk usahawan SDSI di seluruh negara merangkumi kluster makanan dan minuman (F&B), produk/perkhidmatan kesihatan, produk kraf dan homestay.

“Showcase ini juga bertujuan mewujud dan memperluaskan rantaian perniagaan di antara usahawan SDSI dengan pembeli, pengedar, agen pemasaran, stokis, pengimport, dan pasar raya besar,” katanya.

Ewon berkata, KUSKOP memilih Melaka sebagai negeri pilihan bagi menjayakan Showcase SDSI MADANI Peringkat Kebangsaan 2023 kerana pelaksanaannya tertangguh sejak 2019 disebabkan pandemik Covid-19.

“Penganjuran semula Showcase di Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka bertujuan memperkenalkan semula pelaksanaan Showcase SDSI yang secara tradisinya dianjurkan di MITC sejak 2006 hingga 2015 yang sebelum ini diurus setiakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.
Sehubungan itu beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Showcase SDSI MADANI di Melaka untuk merasai keunikan dan kemeriahan acara ini melalui aktiviti jualan pelbagai produk dan menu oleh usahawan SDSI daripada seluruh negara.

“Para pengunjung juga dapat membeli barangan asas dan keperluan rumah dalam harga yang lebih rendah dengan membeli-belah di reruai Jualan MADANI Koperasi, Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI.

“Saya berharap agar Showcase ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan dimeriahkan dengan kehadiran segenap lapisan masyarakat. Semoga pelaksanaan Showcase dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang dan melonjakkan industri-industri yang mencerminkan keistimewaan sesebuah daerah di seluruh negara,” katanya.

Pelaksanaan Showcase ini merupakan kerjasama antara KUSKOP dengan Kerajaan Negeri Melaka serta Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) sebagai urus setia induk.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles