Usaha martabatkan MAN Sabah perjuangan berterusan: Ewon

KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, usaha untuk memartabatkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah adalah perjuangan berterusan parti itu agar ia setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Advertisements

“Di Sabah, kita mempunyai tiga jenis mahkamah iaitu Mahkamah Sivil, Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri.

“Perjuangan saya dan parti UPKO sejak dahulu adalah supaya ketiga-tiga mahkamah ini sama taraf. Sebab itu UPKO akan terus memainkan peranan penting memartabatkan Mahkamah Anak Negeri dan ianya akan menjadi perjuangan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Literasi Undang-Undang Adat Negeri anjuran Persatuan Wanita dan Keluarga Kota Belud (KBwake), di Skyblue Kg.Piasau, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, antara kejayaan yang telah dicapai oleh UPKO selama ini ialah penubuhan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) di Penampang.

“Saya juga telah mencadangkan supaya bangunan Mahkamah Anak Negeri di Kota Belud diwujudkan dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

“Bangunan MAN di Kota Belud perlu dibina supaya tidak perlu lagi menumpang di Pejabat Daerah. Hanya kita perlu mengenalpasti tapak cadangan bangunan tersebut.

“Dari segi peruntukan, kita boleh memohon daripada kerajaan persekutuan melalui program khas anak negeri Sabah sekiranya tapak sudah dikenalpasti. Saya cadangkan bangunan MAN Kota Belud dibina di kawasan Kadamaian,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu turut menggalakan masyarakat Anak Negeri agar menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

“Mahkamah Anak Negeri ini adalah mahkamah milik kita. Oleh itu saya menggalakkan semua masyarakat anak negeri di Sabah supaya menggunakan mahkamah ini untuk urusan-urusan yang berada di bawah bidangkuasa MAN, misalnya perkahwinan, pertunangan dan isu-isu berkaitan tanah anak negeri.

“Saya sendiri mendaftarkan perkahwinan saya melalui Mahkamah Anak Negeri Kota Belud,” katanya.

Seminar sehari itu dihadiri seramai 80 peserta.

Sementara itu, kerja-kerja menaiktaraf dua jalan utama di kawasan Kadamaian, iaitu Jalan Tengkurus-Lahanas dan Jalan Sayap-Mansulit menyerlahkan kejayaan Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035.

Ewon berkata pelaksanaan kedua-dua projek tersebut akan menjadi “game changer” kepada aktiviti ekonomi di Kadamaian, khususnya di kampung-kampung sepanjang laluan jalan raya tersebut.

“Saya gembira kerana hari ini, projek menaiktaraf kedua-dua jalan ini sedang dilaksanakan, dimulakan semasa saya menjadi Wakil Rakyat Kadamaian dan akan disiapkan semasa saya menjadi Wakil Rakyat di sini.

“Ianya sesuai dengan aspirasi rakyat yang didokumentasikan dalam Pelan Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang telah dilancarkan awal tahun 2020 semasa saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.

“Dengan siapnya projek ini nanti, maka sudah tentu akan memudahkan urusan penduduk dan paling penting menjadi ‘game changer’ kepada kawasan Kadamaian, khususnya kampung-kampung di sepanjang laluan jalan ini yang banyak bergantung kepada aktiviti pertanian dan pelancongan,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian diberikan taklimat oleh jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan juruperunding projek mengenai prestasi semasa projek.

Projek naiktaraf Jalan Tengkurus – Lahanas sejauh 12.4 kilometer tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM61.4 juta, manakala projek naiktaraf Jalan Sayap sejauh 16.8 kilometer melibatkan peruntukan sebanyak RM129 juta.

Sementara itu, Ewon turut menyatakan bahawa proses perolehan bagi projek naiktaraf Jalan Podos-Taginambur dan projek Jambatan Konkrit Koung Ulu juga akan dilaksanakan oleh JKR Sabah.

“Saya juga telah meminta status terkini berkenaan projek naiktaraf Jalan Podos-Taginambur dan jambatan Koung Ulu. Saya dimaklumkan JKR Sabah dalam proses untuk memanggil tender bagi kedua-dua projek ini dan berharap kerja-kerja lapangan akan bermula pada tahun hadapan.

“Sepertimana dihasratkan oleh rakyat Kadamaian dalam Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035, saya akan terus memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN Kadamaian untuk membawa masuk lebih banyak peruntukan dan kemudahan ke Kadamaian.

“Ini termasuklah memasukkan beberapa lagi jalan utama lain di Kadamaian seperti Jalan Gaur-Mangkulat-Pinolobuh, Jalan Kebidahan-Lasau dan Jalan Melangkap untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13, 2026-2030,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles