SEMPORNA: Sabah masih depan dengan masalah bangunan sekolah yang berkeadaan daif atau uzur sekali gus masih berstruktur kayu perlu diganti kepada konkrit dengan segera.
Presiden Parti WARISAN (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, lebih membimbangkan apabila keadaan prasarana fizikal asrama sekolah rendah dan menengah di kawasan luar bandar juga masih mengalami masalah sama.
Katanya, isu ini perlu penting perlu diselesaikan segera bagi memastikan keadaan struktur bangunan sekolah serta asrama pelajar ini selamat untuk digunakan dalam tempoh jangka masa panjang.
“Hasil lawatan di beberapa kawasan di pedalaman Sabah memberi gambaran kemudahan prasarana sekolah rendah dan menengah masih berstruktur kayu serta usang yang perlu diganti kepada konkrit dengan kadar segera.
“Paling dekat, contohnya di Kota Belud dan Tuaran struktur bangunannya masih berbentuk papan manakala struktur asasnya perlu dinaiktaraf dalam keadaan segera.
“Perlu juga dilihat kemudahan penambahbaikkan tenaga pengajarnya, hasil lawatan saya di beberapa kawasan lain rumah guru perlu juga diberi perhatian bagi memberi keselesaan kepada mereka,” katanya ketika merasmikan hari terbuka Pejabat Pendidikan Daerah Semporna di sini hari ini.
Mohd Shafie merupakan Ahli Parlimen Semoorna berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempunyai perancangan rapi untuk menaiktaraf, melaksanakan pengubahsuaian serta membina semula bangunan gantian untuk sekolah daif yang dikenal pasti.
“Perlu untuk kita tingkatkan usaha, bukan hanya membaikpulih kemudahan prasarana fizikalnya malah tapi jauh lebih penting adalah bagaimana usaha untuk menaiktaraf sekolah-sekolah daif di Sabah ini perlu dipertingkatkan segera,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, lebih separuh daripada 1,292 sekolah rendah dan menengah di Sabah ketika ini dilaporkan berdepan masalah bangunan yang berkeadaan daif atau uzur.
Beliau berkata perangkaan itu berdasarkan rekod terbaharu Jabatan Pendidikan Sabah pada tahun lalu.
“Berdasarkan rekod JPNS pada 2022 terdapat 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di Sabah.
“Namun daripada bilangan sekolah itu sekurang-kurangnya 54.5 peratus disifatkan berkeadaan daif dan uzur serta memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera,” katanya.