KINABATANGAN : Wakil Rakyat Kawasan Lamag Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyerahkan bantuan kepada 33 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir di kampung Cangkul Buang Sayang Bukit Garam, dekar sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, bantuan yang diberikan itu berupa bekalan makanan termasuk beras, minyak masak, tepung, susu, sardin, gula biskut dan barangan keperluan lain.
“Banjir kali ini walaupun agak terkawal namun ianya turut menjejaskan kehidupan masyarakat di kawasan ini dan dalam keadaan sekarang kita memahami keperitan serta kesulitan penduduk kampung, justeru dengan sedikit sumbangan ini kita berharap ianya dapat meringankan beban yang mereka pikul,” katanya ketika dihubungi di sini kemarin.
Bantuan dibawah program Ehsan Kasih Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat itu diselaraskan secara kolaborasi antara kakitangan Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kinabatangan,Pejabat DUN Lamag, UMNO bahagian Kinabatangan,Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO bahagian Kinabatangan yang turun padang seterusnya mengagih-agihkan sumbangan kepada para penerima di kampung Cangkul Buang Sayang pada Rabu.
Menurut Bung yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan sebaik mengetahui terdapat beberapa kampung dan kawasan yang terjejas, pihaknya terus menghantar pasukan untuk gerakan membantu mangsa banjir yang terlibat.
“Kinabatangan agak senonim dengan banjir terutama di musim hujan dan yang terkesan awal adalah penduduk yang tinggal berhampiran sungai Kinabatangan.
“Apabila hujan berterusan kita sering meminta mereka yang tinggal berhampiran Sungai agar sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dan dalam masa yang sama pihak kita juga bersiap siaga bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Bung menambah setakat ini belum ada laporan dari pihak berkuasa POKB dan JPAM penduduk yang terjejas banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, bagaimanapun keadaan ini akan terus dipantau.