2/3 tuntutan sudah dimuktamad, OS jadi akademik jika diteruskan – Pemuda UPKO

PUTRAJAYA: Dua daripada tiga (2/3) perkara yang dituntut oleh dua belas (12) Wakil Rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah telah diputus dan dimuktamadkan oleh Kerajaan Perpaduan, kata Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Dominic.

Advertisements

Beliau berkata, perkara pertama yang ialah dimuktamadkan ialah pindaaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dilantik dalam Lembaga LHDN.

“Kini kedua-dua kerajaan negeri itu mempunyai akses kepada maklumat jumlah pungutan hasil persekutuan yang dikutip di negeri masing-masing.

“Perkara kedua berkenaan Warta Kerajaan pada April 2022 yang juga dicabar dalam saman pemula (OS) tersebut di mana Kerajaan Perpaduan telahpun memutuskan akan mengeluarkan warta baharu berkenaan penyelesaian sementara (interim solution) pemberian khas kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak sekaligus akan membatalkan warta sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Billy berkata, perkara ketiga berkaitan pelaksanaan pemberian semula hasil persekutuan 40 peratus, Kerajaan juga telah memutuskan tempoh masa pemuktamadan pelaksanaan formula pemberian semula hasil persekutuan kepada Sabah dan Sarawak, iaitu pada Julai 2024.

“Bagi pihak Pergerakan Pemuda UPKO Penampang, saya membaca dan meneliti ulasan-ulasan banyak pihak terkait keputusan 12 Wakil Rakyat PH Sabah menarik Saman Pemula (OS) mereka kelmarin.

“Saya berharap kesemua pihak yang membuat ulasan ini harus membaca dokumen OS tersebut yang boleh diakses melalui laman mahkamah supaya benar-benar faham mengenai tuntutan yang telah dibawa ke Mahkamah.

“Harus diketahui juga bahawa kelmarin Mahkamah juga membenarkan mereka boleh memfailkan semula OS ini jika tuntutan satu perkara yang selebihnya tidak dilaksanakan.

“Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick selepas dilantik menjadi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah mengisytiharkan tindakan perundangan ke atas Kerajaan yang beliau ambil bersama-sama dengan Wakil-Wakil Rakyat PH Sabah sebelum itu dan seterusnya menggunakan mesyuarat Kabinet untuk menuntut perkara yang sama beliau tuntut di Mahkamah melalui OS tersebut.

“Ewon telah menyatakan akan meneruskan OS tersebut walaupun Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan terbukti beliau telah meneruskan OS tersebut selama hampir sepuluh bulan Anwar menjadi Perdana Menteri dan dalam masa yang sama menuntut melalui Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

“Dua pertiga perkara yang dituntut telah diputuskan dan dimuktamadkan. Manakala baki satu perkara lagi sudah diputuskan dan diberi tempoh masa untuk dimuktamadkan. Jika OS ini diteruskan, maka ia akan jadi akademik. Tidak ada lagi keperluan meneruskan OS bagi tuntutan-tuntutan yang telah diselesaikan,” katanya.

Billy turut menyatakan rasa bangga menjadi sebahagian daripada pasukan yang membantu Ewon mengangkat tuntutan-tuntutan tersebut di mahkamah dan dalam masa yang sama mengangkat penyelesaian di mesyuarat Kabinet dan Jawatankuasa Kabinet.

“Sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ewon, saya sangat tahu apa yang telah beliau perjuangkan melalui pelbagai platform terkait isu-isu hak Sabah. Dalam sambutan ulangtahun UPKO pada bulan Ogos lepas, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Ali telah mengesahkan ketegasan Ewon dalam Kabinet berkaitan kepentingan Sabah.

“Saya amat pasti Ewon akan terus bertegas mengenai perkara ini dan akan memastikan keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Kerajaan dilaksanakan. Tindakan Ewon dan plaintif lain memohon persetujuan mahkamah membenarkan OS difailkan semula jika baki satu pertiga berkenaan pelaksanaan pemberian 40% membuktikan kebijaksanaan kesemua plaintif. Mahkamah telahpun bersetuju kelmarin,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles