Kaji semula mata pelajaran Sejarah, ubah silibus kepada bentuk ‘story telling – Madius

KUALA LUMPUR: Kerajaan diseru untuk mengkaji semula mata pelajaran Sejarah bagi memastikan ia mampu menarik minat pelajar dan tidak membosankan.

Advertisements

Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, beliau sangat prihatin berhubung perkara ini kerana subjek wajib lulus itu telah menjadi penyebab ratusan ribu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal pada tahun 2022.

“Tuaran sangat hairan bagaimanakah perkara ini boleh berlaku. Sehubungan itu saya mengambil inisiatif mengadakan sedikit kajian tentang silibus digunakan pada ketika sistem pendidikan menggunakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan seterusnya Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Dan apa yang saya dapati buku teks Sejarah itu langsung tidak mempunyai ciri-ciri sebagai Sejarah. Ia sepatutnya suatu cerita. Tetapi apa yang Tuaran dapati ia lebih berbentuk Human Geography, iaitu menceritakan pasal etnik, budaya, dan adat istiadat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pemangkin dasar Kajian Separuh Penggal (KSP) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Persidangan Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Ulasan itu menfokuskan kepada dasar pertama KSP RMK12 iaitu Mengukuhkan Bakat Masa Hadapan.

Menurut Madius, buku teks Sejarah tidak menceritakan apa yang terjadi pada masa yang lalu.

“Contohnya siapa yang terlibat, apa perbincangannya, bila dan dimana. Semua itu tidak disebut menyebabkan mata pelajaran itu menjadi satu mata pelajaran yang sangat membosankan dan tidak menyeronokkan.

“Oleh itu pelajar tidak suka, guru-guru tidak seronok dan penyelia-penyelia pun tidak seronok.

“Pendek cerita, Tuaran mahu agar mata pelajaran ini dikaji semula. Biarlah subjek Sejarah ini dibuat dalam bentuk penceritaan atau story telling tentang kisah benar untuk memberi kesedaran tentang asal usul kewujudan kita, kewujudan negara ini,” jelasnya.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menegaskan untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia, setiap rakyat perlu mempunyai semangat kekitaan yang tinggi terhadap negara ini.

“How do we achieve that, we can only achieve that if we have a shared history, we have a shared beginning and for us in this Federation of Malaysia ini, our beginning is 1963,” tambahnya.

Sementara itu, Madius menyeru kerajaan untuk memperkasa Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan mengambil contoh daripada Republik Indonesia.

Menurutnya, perkara tersebut telah dicadangkan beliau berkali-kali di Persidangan Dewan Rakyat memandangkan JPKK mempunyai tanggungjawab yang besar di peringkat komuniti khususnya dalam merealisasikan usaha kerajaan dalam menoktahkan penduduk miskin tegar.

“Sebagai makluman Ahli Dewan, di Indonesia Setiausaha Majlis Perdesaan atau JPKK itu ialah seorang kakitangan kerajaan. Sampai begitu sekali pemerkasaan dibuat.

“Bagaimana pula kita di negara ini? Difahamkan sampai sekarang ini Kerajaan Persekutuaan dan Kerajaan Sabah belum lagi mendapat persetujuan tentang rupabentuk JPKK serta pelantikannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu tata kelola JPKK katanya, pada ketika ini wujud kecelaruan dalam pelantikan JPKK antara pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.

“Kerajaan khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mahu melantik JPKK daripada Persekutuan. Namun menurut pihak Kerajaan Sabah pula, JPKK ini adalah hal negeri.

“Jadi gaduh punya gaduh, sampai sekarang sudah beberapa bulan semua JPKK tidak dibayar elaun. Kesemua mereka masih tertunggu-tunggu. Yang tidak dibayar elaun ini juga termasuklah Ketua Kampung.

“Hal ini menyebabkan mereka ini sekarang lemah longlai. Tiada semangat membuat kerja kerana tiada elaun. Siapakah harus dipersalahkan? Bagaimanakah kita bercerita tentang tata kelola atau governans dalam keadaan seperti ini?

“Dan saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan, bilakah Pengerusi JPKK dan Setiausaha JPKK yang telah dilantik di Sabah ini akan mererima bayaran elaun? Sekarang ini masuk tandas awam pun kita kena bayar. Takkan mereka yang berkhidmat di peringkat komuniti setempat terus diabaikan,” tegasnya.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memaklumkan sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan segera akan menyebabkan banyak hal-hal berkaitan kampung berhadapan dengan masalah.

“Jadi hal JPKK ini adalah satu perkara yang amat kritikal dan perlu diselesaikan segera oleh pihak kerajaan,” ujar Madius.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles