F&N perlihat Sabah lokasi ideal perniagaan berkembang secara dinamik dan berdaya saing

KOTA KINABALU, 14 Sept 2023: Perjalanan perniagaan Fraser & Neave (F&N) Holdings Berhad yang berdekad lamanya di Sabah memperlihatkan negeri ini lokasi yang ideal untuk perniagaan berkembang secara dinamik dan berdaya saing.

Advertisements

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, komitmen F&N Holdings Berhad terhadap negeri Sabah telah menjadi sumber inspirasi kepada semua pemain industri sejak berdekad lamanya.

Pelaburan mereka bukan demi kejayaan sendiri tetapi juga memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah.

Dr. Joachim berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Media sempena Sambutan Ulang Tahun F&N yang ke-140 di sini hari ini, di pusat membeli-belah Suria Sabah.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, perjalanan F&N Holdings Berhad dalam industri makanan dan minuman (F&B) selama 140 tahun adalah bukti komitmen berterusan terhadap Sabah secara keseluruhan.

Tambahnya, usaha F&N Holdings Berhad ini dalam mengukuhkan pembangunan industri tempatan dan peningkatan ekonomi Sabah merupakan satu bukti keberkesanan syarikat ini dalam industri F&B.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Sabah amat menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif yang dilakukan oleh F&N Holdings Bhd. Dalam konteks ini, F&N telah menyediakan peluang sebanyak 500 pekerjaan kepada rakyat di negeri Sabah. Saya difahamkan, jumlah pekerja secara langsung ialah seramai 200 orang dan secara tidak langsung yang terdiri daripada pengedar dan pembekal berjumlah 300. Saya yakin dengan potensi yang ada di negeri ini akan memberikan satu impak pembangunan yang amat positif di Sabah,” katanya.

Dr. Joachim turut memuji penglibatan F&N Holdings Berhad dalam melahirkan generasi tempatan yang gah di persada dunia.

Katanya, dengan kerjasama yang terjalin bersama F&N Holdings Bhd dalam menyokong inisiatif sektor pendidikan, F&N bermatlamat untuk mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk maju dalam landskap pasaran global yang sentiasa berubah.

“Baru-baru ini F&N Holdings Berhad telah menjalinkan satu kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK) untuk menganjurkan Pertandingan Mencipta Poster Digital sempena Hari Kebangsaan yang ke-66. Tujuannya ialah untuk mencungkil bakat dan meningkatkan kemahiran insaniah pelajar melalui pendedahan kepada teknologi terkini,” katanya, sambil mengucapkan tahniah kepada F&N Holdings Bhd di atas pencapaian dan kejayaannya.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Operasi Komersial Domestik (Malaysia Timur & Brunei)
Fraser & Neave Holdings Bhd, Graham Lim; Penolong Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Ahmad Haji Mohd Akib dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Bunsu Gaga.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles