KOTA KINABALU: Naib Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Henry Saimpon menyambut baik kesungguhan kerajaan persekutuan untuk membantu membangunkan semula sekolah-sekolah daif di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata ini membuktikan kerajaan perpaduan persekutuan benar-benar mengambil berat soal pembangunan pendidikan di negeri ini.
“Sehingga kini, difahamkan sebanyak 43 projek sedang dalam pelaksanaan di Sabah.
“Kita mengalu-alukan komitmen kerajaan persekutuan untuk membela nasib rakyat Sabah, termasuk dalam soal pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Henry berkata demikian ketika mengulas
pembentangan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.
Henry turun mengalu-alukan keprihatinan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ini termasuk pelonggaran peraturan perolehan dan penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah pada Januari 2023 dan penyerahan kuasa kawal selia elektrik dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari 2024.
Henry menzahirkan harapan agar kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri dapat menyelesaikan masalah air yang tidak berkesudahan di negeri ini.