Dialog Belanjawan KUSKOP 2024: Keperluan premis perniagaan antara cadangan usahawan Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Keperluan premis perniagaan seperti hub keusahawanan antara cadangan usahawan Sabah dan Sarawak dalam Dialog Belanjawan 2024 bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Advertisements

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sesi dialog bagi semua pemain industri Sabah dan Sarawak, diadakan di ITCC Penampang dan dihadiri wakil-wakil persatuan, koperasi, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penjaja dan peniaga kecil-kecilan.

Beliau berkata, dialog seumpama itu telahpun diadakan di Kuala Lumpur bagi pemain industri kawasan Malaysia Barat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Sesi dialog ini bertujuan mendapatkan maklum balas secara terus daripada para pemegang taruh yang terlibat dalam agenda pembangunan keusahawanan negara.

“Pada hari ini seramai 17 peserta mewakili persatuan, koperasi dan organisasi masing-masing telah menyatakan pelbagai pandangan dan cadangan mereka.

“Kita menerima dan menyambut baik cadangan dan pandangan mereka. Sebahagian daripada cadangan itu telahpun dimasukkan dalam cadangan asal kementerian yang kita kemukakan kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Dialog Belanjawan 2024 bagi KUSKOP, di ITCC Penampang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Suriani Dato Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pemantauan KUSKOP, Noor Afifah Abdul Razak, ketua-ketua agensi di bawah kementerian dan pegawai-pegawai kanan KUSKOP.

Ewon berkata, enam daripada 54 inisiatif utama Belanjawan KUSKOP 2024 akan dimasukkan dalam ucapan belanjawan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 bulan depan.

“Kesemua 54 inisiatif utama Belanjawan KUSKOP 2024 adalah keutamaan kita namun, enam daripadanya memberi impak besar kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Mengenai cadangan peserta dalam dialog itu, Ewon berkata, secara kesimpulannya ia melibatkan isu berkaitan pembiayaan sama ada geran atau pinjaman, penyediaan lebih banyak premis perniagaan seperti hub keusahawanan dan ruang niaga serta pusat pemprosesan dan naik taraf kemudahan.

Selain itu katanya, para peserta juga mengemukakan cadangan supaya lebih banyak latihan keusahawanan bukan sahaja untuk koperasi tetapi usahawan kecil dan sederhana termasuk usahawan mikro dan informal di Sabah.

“Mereka turut memberikan pandangan mengenai isu pelesenan, proses permohonan pembiayaan, kriteria dan syarat yang perlu ditambah baik.

“Program pembangunan atau penganjuran pelbagai program seperti expo dalam Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak, cadangan membawa usahawan Sabah dan Sarawak ke luar negara juga dicadangkan.

“Semua cadangan ini memang baik dan termasuk dalam cadangan 54 yang telah kita kemukakan kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata, kementeriannya menggariskan lima fokus utama dalam Belanjawan 2024 bagi kementerian itu.

Beliau berkata, ia penting bagi merealisasikan pembangunan ekonomi yang mampan dan mewujudkan negara keusahawanan unggul.

Katanya lagi, lima fokus utama bagi Inisiatif Belanjawan 2024 itu dikenalpasti hasil daripada input-input yang diperolehi secara terus melalui sesi libat urus yang diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan mewakili persatuan, dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), koperasi dan agensi-agensi kerajaan.

“Antara fokus utama itu ialah mempertingkatkan penyertaan Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor bernilai tinggi bagi menembusi pasaran global.

“Selain itu kementerian juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kemampanan PMKS dan koperasi bagi meningkatkan daya saing ekonomi, memperkasa perusahaan mikro bagi menjamin kelangsungan perniagaan.

“Memperhebatkan keupayaan gerakan koperasi dalam rantaian bekalan dan memperkukuh ekosistem keusahawan sosial bagi menormalisasi impak sosial,” katanya.

Ewon berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif, KUSKOP sentiasa peka dan prihatin dalam memastikan para usahawan dan koperasi terus berdaya tahan serta maju dalam pasaran tempatan dan mempekembangkan pasaran ke luar negara.

“Kuskop yang diberi mandat menerajui pembangunan bidang keusahawanan dan koperasi sentiasa komited membantu usahawan informal, PMKS dan koperasi dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, objektif penyediaan Inisiatif Utama Belanjawan KUSKOP 2024 adalah untuk mencapai sasaran nasional yang ditetapkan dalam tempoh Kajian Separuh Panggal Rancangan Malaysia ke-12 dan menyumbang kepada pencapaian Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2023.

“Sasarannya agar sumbangan PMKS kepada KDNK meningkat sebanyak 41 peratus pada 2025 (semasa 38.4 peatus) dan meningkatkan jumlah eksport kepada 15 peratus pada 2025 (semasa 10.5 peratus) dan pendapatan koperasi meningkat sebanyak RM54 bilion pada 2025 (semasa RM45.5 bilion),” katanya.

Ewon berkata, penyediaaan inisiatif utama belanjawan ini sejajar dengan hala tuju kementerian dengan aspirasi Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat iaitu menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan darjat hidup rakyat.

“Hala tuju KUSKOP di bawah kerangka baharu ini adalah untuk meningkatkan daya saing PMKS dan Koperasi bagi mengukuhkan pasaran domestik dan menembusi pasaran global melalui pengantarabangsaan usahawan.

“Seterusnya memartabat dan memanfaatkan potensi usahawan informal, mikro, kecil dan orang asal dan bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles