Oleh penulis bebas ASG
SANDAKAN: Walaupun masih terlalu awal memperkatakan Pilihanraya Negeri (PRN) ke 17 dan Pilihanraya Umun (PRU) ke 16 khususnya di Sabah ,namun bahangnya sudah mula dirasai dengan kesibukan beberapa parti mengatur gerak kerja mencari ahli, penyusunan bahagian dan mesyuarat di peringkat bahagian terutama Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
PGRS merupakan parti komponen utama dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS.
Dijangkakan PRN bakal diadakan dalam tempoh kurang dari dua tahun , dan antara kawasan yang menjadi perhatian ialah Parlimen Kinabatangan yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sukau, Lamag dan Kuamat .
Tumpuan lebih terarah kepada DUN Lamag yang kini disandang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan DUN Sukau yang disandang oleh Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin.
Kedua-dua ADUN Lamag dan Sukai itu merupakan pemimin utama UMNO Sabah.
PGRS Bahagian Sukau yang diketuai oleh Datuk Juhari Janan pula dalam beberapa siri ucapan dan “cakap-cakap di kedai kopi” dikatakan begitu yakin PGRS yang dijangka bertanding atas tiket GRS dapat menawan kerusi DUN Sukau dan Lamag pada PRN akan datang.
Bagaimanapun timbul persoalan siapa pemimpin yang bakal ditonjolkan oleh GRS untuk membawa cabaran di dua kawasan DUN ini?
GRS bahagian Sukau diramal akan menonjolkan tiga pemimpin utama yang sudah bergabung di kawasan ini, iaitu tiga pemimpin sebelum ini bersama UMNO dan pernah menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan yang dahulunya dibawah kepimpinan Bung sebagai Ketua Bahagian iaitu ketua bahagian PGRS Datuk Juhari Janan.
Turut jadi sebutan ialah timbalan ketua bahagian PGRS Datuk Saddi Abdul Rahman, naib ketua bahagian Azman Mastar.
Antara tokoh wanita yang berpotensi pula ialah Ketua Wanita PGRS Dg Norhayati Datuk OKK Titing yang lebih dikenali sebagai “ Amoi” yang sebelum ini juga pernah menjadi Ketua Puteri UMNO bahagian Kinabatangan sebelum melompat ke Bersatu dan PGRS .
Difahamkan Norhayati mengambil keputusan menyertai Bersatu kerana dikatakan kecewa gagal bertanding untuk jawatan Ketua Wanita UMNO bahagian Kinabatangan.
Antara teka-teki yang bermain dalam fikiran rakyat sekarang ialah siapa kah pemimpin dari PGRS/GRS yang bakal mencabar kedudukan Bung sebagai ADUN Lamag merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan dan Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin sebagai ADUN Sukau pada PRN akan datang?
Tentu sekali, bukan sesuatu yang mudah untuk menafikan pengaruh Bung sebagai Ketua UMNO bahagian dan Ahli Parlimen Kinabatangan, rakyat di dua kawasan khususnya di kawasan Parlimen Kinabatangan lebih mengenali perwatakan, budi bahasa serta sumbangan Bung sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
Hubungan arkab beliau bersama rakyat di peringkat akar, jasa serta sumbangan beliau bukan mudah dilupakan oleh rakyat di kawasan ini, meskipun ada pihak cuba menafikannya.
Rata-rata rakyat di kawaan itu turut merasai nikmat pembangunan yang dibawa oleh Bung sebagai wakil rakyat dan ahli parlimen di kawasan tersebut.
Oleh itu misi mereka untuk mencabar Bung sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag tidak semudah yang disangka.
Jika megikut hariki sudah tentu Ketua GRS bahagian Sukau Juhari lebih layak diletakkan sebagai calon DUN Sukau bagi mencabar penyandang sekarang Jafry untuk PRN akan datang. Tidak dinafikan Saddi juga boleh diketengahkan berdasarkan kepada pengalaman beliau yang pernah menjadi ADUN di kawasan tersebut selama dua panggal.
Tidak banyak isu yang boleh dibangkitkan di kawasan Sukau ,jika melihat kepada isu pembangunan sedikit sebanyak ada juga sumbangan Jafry kepada pembangunan di kawasan Sukau, walaupun beliau belum sampai sepanggal menjadi wakil rakyat berbanding dengan ADUN sebelum ini Saddi yang pernah menjadi ADUN Sukau selama dua panggal.
Rakyat di kawasan ini masih tertanya-tanya apakah perubahan terbesar yang beliau lakukan di kawasan DUN Sukau selama menjadi wakil rakyat di kawasan ini?
Begitu juga Juhari, selain pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Setiausaha Politik dan pernah Menjadi Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi, masih timbul persoalan kepada masyarakat setempat tentang sumbangan beliau ketika menjawat pelbagai jawatan penting dalam merubah landskap pembangunan di kawasan Sukau, walaupun pada ketika itu UMNO/BN berkuasa menjadi kerajaan di peringkat pusat dan negeri serta mempunyai segala kemudahan dan saluran untuk Juhari membantu rakyat dan memajukan kawasan Sukau namun ianya gagal beliau sempurnakan sebaiknya.
Beliau juga pernah diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan UMNO/BN untuk menjadi calon BN dalam PRN ke-16 untuk bertanding di kawasan Kuamut tapi kecundang di tangan Datuk Masiung Bana yang bertanding atas tiket calon bebas.
Sehubungan itu, pelbagai peluang yang pernah diberikan oleh UMNO/BN kepada Juhari sebenarnya gagal dimanafaatkan untuk kepentingan rakyat di kawasan tersebut yang dilihat lebih kepada kepentingan peribadi.
Menurut penganlisis politik tempatan, pencapaian mereka sebelum ini perlu diambil kira oleh pucuk pimpinan GRS sebagai salah satu kriteria sekiranya berhasrat mahu meletakkan antara dua pemimpin tersebut sebagai calon GRS dalam usaha memecahkan rekod UMNO/BN di dua kawasan Sukau dan Lamag.
Jika pencapaian ini dinilai sepenuhnya oleh pucuk pimpinan GRS, Naib Ketua Bahagian GRS Azman Mastar sekiranya diberikan peluang untuk bertanding di kawasan tersebut mengikut pemerhati politik tempatan mungkin boleh diketengahkan.
Pengalaman beliau yang pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Kinabatangan dan Naib Ketua bahagian dapat dijadikan asas pemilihan/ Mungkin dari segi sumbangan kepada rakyat dan pembangunan di kawasan itu.
Masyarakat di kawasan tersebut boleh menerimanya kerana beliau hanya pernah berjawatan dalam politik bukannya jawatan dalam kerajaan mahu pengerusi Syarikat berkaitan Kerajaan, kalau ada pun pada masa ini hanya sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
Bagaimanapun, untuk menjadi calon bukan pengalaman sahaja menjadi ukuran banyak faktor lain perlu diambil kira antaranya hubungan dengan akar umbi dan sumber kewangan.
Jika melihat kepada pemimpin muda, GRS mungkin boleh meletakan Ketua Wanita GRS Dg Norhayati Datuk OKK Titing sebagaii calon samada di DUN Sukau atau Lamag, namun setengah pemerhati politik di kawasan tersebut berpandangan beliau masih bersifaf kebudak-budakan hanya lebih popular di media sosial atau tit tok tapi sentuhan di akar umbi masih belum menyerlah untuk mencabar penyandang sekarang samada di DUN Sukau atau Lamag.
Bagaimanapun menurut beberapa orang pemerhati politik di kawasan ini, pengunaan media sosial atau tit tok adalah cara Amoi untuk mempopularkan diri dan ini menimbulkan rasa kurang senang kepimpinan GRS bahagian yang mana gerak kerja yang beliau laksanakan banyak membelakangkan kepimpinan GRS bahagian.
Tidak banyak disebut siapa bakal mencabar Bung di DUN Lamag yang diwakilinya ketika ini selain Ketua Bahagian GRS Lamag Abu Bakar Gapar yang Bung pilih sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) bagi kawasan Lamag sebelum ini.
Bagi calon GRS yang bakal mencabar kedudukan Bung dalam PRU akan datang, terdapat cakap-cakap di kedai-kedai kopi yang bekas ahli jawatankuasa UMNO bahagian yang kini menyertai PGRS Juslee Arpaih disebut-sebut akan diketengahkan sebagai calon bagi kawasan Parlimen Kinabatangan.
Menariknya di kawasan Parlimen Kinabatangan yang melibatkan tiga kawasan DUN ini sekiranya berlaku PRN dalam tempoh yang terdekat ini ialah pertembungan antara keluarga, rakan dan sahabat dimana sebahagian daripada pemimpin dan ahli-ahli PGRS sebelum ini merupakan pemimpin dan ahli UMNO yang pernah berkhidmat dengan Bung sebagai Ketua Bahagian dan bukan sedikit jasa serta sumbangan Bung kepada mereka selama berada dalam satu pasukan UMNO.
Tidak ada isu besar yang boleh dimainkan jika menyentuh soal kemajuan kawasan Kinabatangan semasa Bung menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan banyak perubahan dapat dilihat dari sudut Pembangunan infrastruktur berkaitan air, elektrik, jalanraya Pembangunan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Jika diukur dalam kedudukan sebagai ADUN pun, baik Jafry di DUN Sukau dan Bung di DUN Lamag meskipun belum sampai sepanggal menjadi ADUN mereka turut memberikan sumbangan dalam pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan tersebut.
Malangnya peranan mereka turut terbatas bila Kerajaan pimpinan Ketua Menteri Presiden GRS Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah meletakan UMNO/BN sebagai pembangkang di Sabah walaupun bertentangan dengan konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan dalam masa yang sama Kerajaan GRS tidak memberikan peruntukan ADUN kepada ADUN-ADUN UMNO antara faktor yang menyulitkan kepada mereka membawa projek projek pembangunan di kawasan yang mereka wakili.
Apa pun berlaku, inilah yang dimaksudkan dunia politik yang sentiasa berubah dan tidak statik serta sukar diramal. Misalnya hari ini kawan besok menjadi lawan kesudahanya hanya terserah kepada rakyat dikawasan ini bagi memilih parti dan pemimpin mana yang perlu mereka sokongan untuk menjaga kebajikan dan lebih jauh dari itu membawa pelbagai perubahan dari sudut pembangunan di kawasan ini.
Yang pasti jika berlaku PRN dalam tempoh yang terdekat ini ,DUN Sukau dan Lamag sudah tentu akan ditunggu-tunggu dan menjadi perhatian semua pihak apakah Panglima UMNO/BN Sabah mampu mereka tewaskan.