KOTA KINABALU: Seluruh ahli UMNO seharusnya bersatu dan teguh menyokong Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bukannya mendesak beliau meletakkan jawatan susulan prestasi UMNO/BN yang kurang baik dalam PRN di enam buah negeri baru-baru ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata keputusan PRN baru baru ini tidak menyatakan UMNO/Barisan Nasional kalah sepenuhnya, malah tambah beliau tidak ada mana mana parti yang bertanding pun menang, baik Pakatan Harapan (PH) mahupun Perrikatan Nasional (PN).
Menurut Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, adalah tidak adil kepada Ahmad Zahid didesak meletakkan jawatan sebagai Presiden, tapi sebaliknya semua kepimpinan UMNO perlu bersama dan bertanggungjawab memikul beban kekalahan tersebut.
Bagi beliau, UMNO ada masa empat tahun untuk membetulkan struktur parti untuk kembali kepada perkara asas dan memperkuatkan fundamental parti.
“Saya yakin dalam masa empat tahun, UMNO akan bangkit semula dalam Pilihan Raya Umum akan datang…yang penting UMNO berhasrat untuk berubah dengan struktur kekuatan kita antaranya peranan Pemuda, Wanita dan Puteri harus dilibat gandakan.
“Jangan kita jadi orang kata sebagai tupai tebuk rumah sendiri..Ini tidak baik..cukuplah pemimpin UMNO keluar dan mewah dalam UMNO sekarang ini jadi musuh dan cuba hancurkan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini kemarin.
Menurut Bung hanya pengkhianat UMNO yang sebenarnya adalah kumpulan anti Presiden.
“Mereka ini sebenarnya yang telah memecah-belahkan kesatuan dan perpaduan UMNO.Mereka ini yang menyebabkan UMNO kehilangan banyak kerusi dan mereka juga golongan pentingkan diri sendiri berbanding kepentingan parti, rakyat dan negara,” katanya.
Selain itu menurut Bung, propaganda ,fitnah dan sentimen agama dan kaum yang dimainkan oleh Perikatan Nasional berjaya merancuni pengundi Melayu Islam dalam PRN kali ini yang perlu dilihat oleh UMNO untuk menangani isu ini agar tidak terus menular khususnya dalam menghadapi PRU akan datang.
Bung menambah, ahli dan kepimpinan UMNO harus melihat semula ketika Ahmad Zahid mengambil alih jawatan presiden pada 2018 ketika parti dalam keadaan teruk hingga ada yang tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya.
“Tetapi beliau mempertaruhkan dirinya sehingga sekarang,” kata Bung Moktar Radin.
Bung Moktar berkata sebetulnya umno tidak dilihat kalah teruk pada Pilihan Raya di enam negeri baru-baru ini.
Beliau berkata yang kalah teruk adalah Perikatan Nasional (PN) dimana pada peringkat awal mereka yakin mampu menawan empat hingga lima negeri.
“Realitinya masih 3-3…Di Negeri Sembilan, UMNO berjaya meraih kemenangan di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pakatan Harapan menang di 17 kerusi DUN,” katanya.
Pada PRN itu, UMNO yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) hanya menang di 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu, iaitu bersamaan dengan 17.6 peratus, paling kecil berbanding parti lain.
“Kenapa puak pendesak dalam UMNO tak salahkan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat serta bahagian. Sepatutnya semua ambil tanggungjawab, sebabnya kalau presiden gagal maknanya, keseluruhan kepemimpinan parti gagal,” katanya
Bung berkata, memang mudah untuk meminta seseorang meletak jawatan, namun langkah sebaik-baiknya ialah melakukan post-mortem bagi mengkaji dan mengenal pasti punca kekalahan.
“Biar kita reda dan melakukan post-mortem. Kita mencari kelemahan diri kerana terdapat banyak faktor (kekalahan),” katanya
Bung menambah tiada keperluan menuding jari khususnya kepada Presiden parti, sebaliknya UMNO perlu tingkatkan usaha dalam memastikan penjajaran satu hala tuju iaitu bertunjangkan aspirasi perpaduan perlu diperjelaskan lagi kepada anggota parti.
Katanya, gabungan perpaduan yang berjaya mengekalkan status quo di tiga negeri dan BN yang sebelum ini bukan sebahagian daripada kerajaan negeri, sudah menjadi sebahagian pembentukan kerajaan negeri.
Justeru, katanya, mana-mana kumpulan dalam UMNO harus melihat perkara ini secara positif.