GOMBAK SETIA (Selangor) — Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony merayu semua pengundi yang berasal dari negeri Sabah yang kini telah menetap dan mengundi di seluruh kawasan Selangor agar menyokong penuh semua calon-calon Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata ini penting bagi memastikan calon-calon kerajaan Perpaduan meraih kemenangan, sekali gus terus menerajui kerajaan Selangor.
Peter turut menzahirkan ucapan terima kepada Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Haji Amirudin Shari atas kesediaan membantu rakyat Sabah dan Sarawak yang menetap di negeri itu daripada segi kebajikan dan prasarana.
“Syukur dan terima kasih atas keprihatinan YAB Menteri Besar dalam Majlis Santai Kaamatan yang lalu pada 16 Julai 2023 bertempat di Taman Seri Muda Shah Alam, YAB Menteri Besar telah berjanji akan membantu saudara-saudara kita yang berasal dari Sabah dan Sarawak terutama dari segi kebajikan, prasarana dan juga pembinaan Dewan Terbuka di Taman Seri Muda untuk kegunaan orang Sabah dan Serawak yang tinggal dan berkerja di Selangor bagi kemudahan mengadakan program dan majlis-majlis keramaian kelak,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook.
Berucap pada majlis ceramah di Gombak Setia semalam, Peter yang juga Adun Melalap turut menekankan pentingnya
‘Genjatan Politik’ dilakukan selepas PRN itu bagi selamatkan negara dari kemelut politik yang tidak berkesudahan,.
Menurutnya ini selari titah DYMM Yang Dipertuan Agong serta memberi ruang dan peluang kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengurus dan mentadbir negara tercinta ini.
“Bersama kita doakan agar proses PRN di enam buah negeri ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segalanya,” katanya.
Turut hadir Amirudin, Calon Dun Gombak Setia Datuk Wira Megat Zulkarnain serta pimpinan parti dalam Gabungan Perpaduan.