KUALA SELANGOR: Jentera Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) yakin akan mampu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, rakyat memilih kestabilan politik untuk memastikan memacu Selangor sebagai sebuah negeri perindustrian yang berteknologi tinggi di masa depan.
Katanya, ini merupakan faktor utama pengundi memilih gandingan BN dan PH bagi kecemerlangan Selangor sebagai ‘Status’ negeri berpendaoatan tinggi dapat dikekalkan.
“Sepanjang mengharungi kempen terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram ini, kita yakin rakyat akan memilih gandingan BN dan PH pada 12 Ogos ini.
“Bagi pengundi di sini (DUN Jeram) kestabilan politik merupakan asas penting bagi mereka. Gandingan BN dan PH merupakan pilihan utama pada 12 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Walkabout bersama calon BN Datuk Jahaya Ibrahim Bukit Cherakah, di sini hari ini.
Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri berkata, pengundi di DUN Jeram dilihat tidak mudah terpedaya kepada dakyah pembangkang yang sering memainkan isu agama dalam siri kempen mereka.
“Sepanjang baki kempen menuju 12 Ogos ini jentera BN dan PH akan sering memberikan penjelasan kepada pengundi agar tidak mudah terpedaya dengan isu digunakan pihak pembangkang.
“Kita tidak akan meniru cara kempen tidak baik mereka…Kita akan menggunakan istilah yang baik bagi meraih sokongan pengundi di DUN Jeram sehingga hari pengundian pada 12 Ogos ini nanti,” katanya.
DUN Jeram menyaksikan persaingan dua penjuru iaitu calon BN Datuk Jahaya Ibrahim dan Harrison Hasan Perikatan Nasional (PN).