SHAH ALAM: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony berkata, laporan polis pada 2018 oleh saksi utama kes mahkamah yang dihadapinya adalah sahih.
Katanya, laporan polis oleh individu yang bernama Mohd Shukur Mohd Din pada 9 Ogos 2018, yang mendakwa kenyataan bertulisnya ditokok tambah pegawai penyiasat disahkan oleh pihak polis sendiri, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, beliau akan mengambil tindakan susulan dengan menghantar salinan polis itu sebagai bukti baharu kepada Mahkamah Rayuan dan Pejabat Peguam Negara bagi mendapat keadilan yang sewajarnya.
“Keputusan yang diperoleh daripada balai polis Putatan di Penampang mengesahkan kenyataan yang dibuat Mohd Shukur Mohd Din iaitu saksi utama kes pertuduhan saya menerusi satu laporan awal pada 2018 adalah sahih.
“Menerusi pengesahan tersebut, saya akan serahkan salinan itu bagi Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Rayuan untuk tindakan susulan agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Laporan sahih itu membuktikan satu konspirasi politik jahat yang cuba mengaibkan saya, sehingga membolehkan saya disabitkan kesalahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2020,” katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.
Terdahulu pada Isnin lalu, Peter membuat laporan polis berhubung penemuan baharu fakta yang mendakwa beliau dianiaya dalam kes pemalsuan dokumen yang dihadapinya sebelum ini.
Laporan polis itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu menyusul selepas Peter menerima satu hantaran di media sosial yang mendedahkan satu laporan polis oleh saksi utama kesnya yang dibuat pada 2018.
Dalam sidang medianya selepas itu, Peter berkata laporan polis yang dibuat Mohd Shukur Mohd Din di Balai Polis Putatan pada 9 Ogos 2018 menjelaskan bahawa saksi utama itu memberi kenyataan tidak betul kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima tekanan ketika siasatan kes pada 20 Julai 2017.
Peter berkata, laporan saksi berkenaan menjelaskan bahawa kenyataan bertulisnya ditokok tambah agar beliau selaku suspek dalam kes pemalsuan dokumen membabitkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang disiasat SPRM boleh disabitkan bersalah.
Katanya, jika laporan polis Mohd Shukur itu diketahui pihaknya sebelum ini, barisan peguamnya boleh menggunakannya sebagai hujah bagi mencabar kredibiliti saksi utama kesnya itu.
Pada 2020, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014.
Ia berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di UMS.
Berikutan itu, Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah didapati bersalah dan dihukum penjara tiga tahun serta denda RM50,000 pada Mei tahun lalu.
Hukuman dan sabitan itu turut dikekalkan Mahkamah Tinggi pada April lalu selepas Peter memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Sesyen sebelum ini.