KOTA KINABALU: Semua Ahli Jawatankuasa diberikan mandat oleh perwakilan perlu berusaha mendekati rakyat sekali gus menjadi jurubicara rakyat bagi menyampaikan segala permasalahan kepada mereka.
Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Muslimin berkata, mereka perlu memperhebatkan dengan meningkatkan hasil gerak kerja serta membawa imej yang baik kepada parti keramat ini.
Katanya, dalam masa sama semua Ahli Jawatankuasa ini perlu sentiasa memelihara ikatan ukhwah dengan membina ikatan perpaduan yang kukuh dalam kalangan mereka.
“Kerjasama yang baik diantara kita pastinya akan mempermudahkan segala usaha serta urusan bagi memantapkan parti.
“Ini selaras sebagaimana mengikut manhaj atau method yang satu dengan menuju ke arah matlamat memperkasakan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Sebarang bentuk pertelingkahan hendaklah kita tangani dalam suasana kekeluargaan yang sangat kukuh serta mementingkan asas parti yang perlu menjadi keutamaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat pertama serta Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Jawatankuasa sesi 2023-2026 UMNO Sabah Bahagian Kota Kinabalu di sini malam ini.
Musliati berkata, pertelingkahan akan hanya mengakibatkan kelemahan serta kehancuran umat seperti firman Allah S.W.T “Dan janganlah kamu bersengketa, kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu.” (Surah Al-Anfal, ayat 46).
“Kita memberi keyakinan penuh kepada barisan kepimpinan baharu ini akan mampu mengalas tugas dengan sebaik mungkin.
“Ini khususnya dalam membantu gerak kerja parti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos serta penamaan calon 29 Julai ini,” katanya.