KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited untuk terus membela nasib golongan penternak ikan khususnya di kawasan luar bandar.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Peto Galim berkata, ini penting bagi memastikan kesejahteraan para penternak ikan terus diberikan perhatian selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya menyumbang Kolam Canvas kepada 25 peserta kursus penternakan ikan di DUN Inanam.
Peto berharap bantuan seumpama itu akan menyuntik semangat kepada para peserta menceburi sektor penternakan ikan bermula dari skala kecil ke skala yang lebih besar.
“Jika semua peserta ada usaha dan komitment untuk menjayakan inisiatif ini maka sudah pasti ini menjadi salah satu sumber ekonomi mereka,” katanya.
Peto berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan kolam canvas kepada peserta kursus penternakan ikan di Kampung Kokol Tombongon Menggatal baru-baru ini.
Beliau yang juga ADUN Inanam turut menyumbangkan bibit anak ikan dan baja ikan kepada semua peserta kursus tersebut.
Peto berharap inisiatif itu akan membuahkan hasil, sekali gus membantu menambah sumber pendapatan kepada penduduk kampung khususnya golongan B40.
