SANDAKAN: Kesihatan pergigian yang baik akan meningkatkan kualiti hidup kita terutama dari fungsi kehidupan seperti makan, bertutur, tidur, tumbesaran dan gangguan emosi serta kehidupan sosial kita.
Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir berkata kesihatan pergigian memainkan peranan penting untuk kesihatan badan keseluruhannya.
“ Oleh itu, penjagaan kesihatan gigi seharusnya diambil berat oleh seluruh masyarakat tanpa mengira usia,” katanya ketika merasmikan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2023 Kawasan Sandakan di Pasaraya Mydin Sandakan, pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (Dilantik) percaya program ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mulut.
“Satu kajian yang telah dijalankan di Sarawak menyimpulkan bahawa mereka yang mengamalkan kebersihan mulut yang baik, kerap berjumpa dengan doktor gigi dan mempunyai amalan pemakanan yang baik mempunyai risiko lebih rendah untuk mendapat karies gigi berbanding dengan mereka yang mempunyai amalan kebersihan mulut yang kurang baik.
“Walaupun kejadian karies gigi boleh dicegah, ia adalah jangkitan kronik yang masih mempunyai prevalans yang tinggi di serata dunia,” jelasnya.
Suhaimi berkata ia adalah beban untuk servis jagaan kesihatan kerana rawatan untuk penyakit mulut ini adalah sangat mahal.
“Menurut kajian WHO 2003, Sebanyak 5 hingga 10% telah dibelanja untuk rawatan ini daripada jumlah perbelanjaan dalam penjagaan kesihatan di negara industri.
“Saya mengharapkan kita akan lebih menitik beratkan kesihatan mulut dan mengambil bahagian di dalam aktiviti yang dijalankan pada hari ini bakal supaya boleh mendapat informasi dan pendekatan yang betul dalam menjaga kesihatan gigi kita,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak Klinik Pergigian Sandakan yang telah berusaha menganjur program yang berfaedah kepada penduduk di Kawasan Sandakan.
“Adalah menjadi harapan saya agar program yang berfaedah seperti ini akan diteruskan setiap tahun pada masa akan datang untuk warga Sandakan.
“Semoga setiap apa yang diusahakan akan mendapat keberkatan dan beroleh kejayaan dan seterusnya mencapai matlamatnya,” katanya.