Tagal lonjak status Ranau sebagai destinasi ekopelancongan

RANAU: Sebanyak 123 kawasan tagal telah diwujudkan di Ranau setakat ini, bukan sahaja menjadikannya daerah mempunyai tagal terbanyak tetapi melonjakkan status sebagai destinasi ekopelancongan terulung di Sabah dan negara.

Advertisements

Bangga dengan kejayaan ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berterima kasih kepada Jabatan Perikanan Sabah kerana turut mewujudkan satu-satunya Pusat Informasi Tagal bagi negeri ini di Ranau.   

“Kita berbangga dan gembira dengan kejayaan dicapai oleh Jabatan Perikanan Sabah bersama masyarakat terutamanya di Ranau.

“Sistem tagal yang merupakan satu usaha masyarakat tempatan dengan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan Sabah untuk melindungi, memulihara dan mengurus sumber perikanan sungai di Sabah kini turut melonjakkan lagi status Ranau sebagai destinasi ekopelancongan terulung di Sabah dan negara,” katanya ketika merasmikan tiga Jawatankuasa Tagal Kg. Turuntongon, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Yubidi Gompoyo.

Sistem tagal merupakan satu sistem perikanan tradisional yang dipraktikkan secara turun temurun di kalangan masyarakat tempatan di Sabah.

Menyedari pentingnya peranan sistem ini dalam pengurusan sumber ikan di sungai secara mapan, Jabatan Perikanan Sabah telah memperkasakan sistem tagal ini melalui perkongsian pintar di antara Jabatan dan komuniti.

Pelaksanaan sistem tagal juga mewujudkan kerjasama dalam kalangan komuniti dan Jabatan Perikanan ke arah memastikan sumber perikanan sungai di Sabah dilindungi, dipulihara dan dituai secara mapan dan lestari.

Dr. Joachim berkata, Jabatan Perikanan telah mengambil inisiatif semenjak tahun 2002 untuk memajukan dan memantapkan lagi pelaksanaan sistem tagal.

Melalui perkongsian pintar ini katanya, Jabatan Perikanan bertindak sebagai penasihat teknikal kepada semua Ahli Jawatankuasa Tagal di setiap daerah dan mempromosi sistem tagal kepada daerah-daerah yang belum menjalankan sistem tagal.

Tambahnya, Jabatan Perikanan juga telah memperkenalkan konsep pengezonan kawasan tagal iaitu zon hijau bagi penangkapan ikan dibenarkan sepanjang tahun; zon kuning bagi penangkapan ikan adalah secara berjadual; dan zon merah bagi penangkapan ikan adalah tidak dibenarkan.

Konsep pengezonan ini diwujudkan agar pengurusan sumber perikanan sungai dapat dijalankan dengan lebih baik dan teratur, jelasnya.

“Sistem tagal berkonsepkan penglibatan komuniti dan melalui aktiviti tagal maka, pendapatan masyarakat luar bandar dapat ditingkatkan dengan adanya hasil tuaian ikan yang banyak, serta aktiviti tagal ekopelancongan seperti bermain ikan jinak, berkhemah di tepi sungai dan sukan memancing.

“Tagal ekopelancongan seperti Tagal Kg. Luanti, Tagal Kg. Marakau dan beberapa lagi tagal di daerah Ranau telah berjaya dalam meningkatkan pendapatan ekonomi komuniti dan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung,” ujar Dr. Joachim.

Menyedari betapa pentingnya konsep dan objektif sistem tagal ini, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan  Sabah telah menetapkan 10 buah tagal pada tahun 2022 sebagai salah satu Key Performance Index (KPI) Jabatan Perikanan Sabah.  

“Saya difahamkan KPI tagal ini telahpun tercapai, malah Jabatan Perikanan Sabah telah dapat mewujudkan sebanyak 13 buah tagal yang baharu, melebihi  30 peratus daripada sasaran yang ditetapkan.

“Ini menunjukkan konsep tagal ini sememangnya mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan masyarakat,” kata Dr. Joachim, sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Perikanan Sabah di atas usaha yang telah diambil dalam memajukan lagi sistem tagal di Sabah.

Selain sebagai satu sistem untuk melindungi, memulihara dan mengurus sistem perikanan sungai, sistem tagal juga telah berjaya menjadi satu produk pelancongan yang berjaya di Sabah, kata Dr. Joachim lagi.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada tiga Jawatankuasa Tagal Kg. Turuntungon yang telah berkerjasama dalam usaha memajukan lagi sistem tagal di daerah ini kerana dengan usaha gigih mereka.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles