KOTA KINABALU : UMNO Bahagian Putatan meminta Kerajaan negeri khususnya Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) agar mengambil tindakan tuntas bagi menyelesaikan isu penyewa Rumah Pangsa Tanjung Aru yang sebelum ini diarahkan untuk mengosongkan rumah mereka atas alasan faktor keselamatan.
Ketuanya Jeffery Nor Mohamed berkata kebanyakan penyewa di situ menyifatkan notis arahan itu seperti arahan dari seorang “Along” yang dibuat tanpa sebarang perbincangan bagi penduduk memahami isu sebenar yang menghendaki mereka berpindah dari rumah yang mereka sewa bertahun-tahun lamanya.
Menurut Jeffery seharusnya pihak LPPB mengadakan perjumpaan bersama penduduk atau wakil penduduk untuk menjelaskan sebab mereka dipindahkan dengan melibatkan semua pihak yang berkepentingan bersama Wakil Rakuat UPPM dan semua pihak yang terlibat.
“Dengan adanya perjumpaan dan penjelasan yang khusus penduduk akan lebih memahami isu yang sebenarnya kenapa mereka perlu berpindah dan oleh kerana alasan yang diberikan melibatkan isu keselamatan bangunan, pihak IKRAM yang bertanggungjawab membuat kajian terhadap aspek keselamatan bangunan perlu dijemput bagi membuat penjelasan agar penduduk (penyewa) berpuas hati,” katanya .
Beliau berkata demikian semasa mengadakan perjumpaan bersama wakil penduduk Rumah Mangsa baru-baru ini.
Jeefrey menambah berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Putatan sebelum ini isu penempatanl bagi penyewa yang tinggal di kawasan Rumah Pangsa Tanjung Aru akan diselasaikan selewat-lewatnya bulan Julai tahun ini dan sekarang telah memasuki bulan Julai 2023 namun penempatan yang dijanjikan belum tersedia untuk diduduki bagi penduduk yang diarahkan berpindah.
Jeefrey berkata ramai penyewa di sini belum menerima makluman penempatan baru dari pihak LPPB samada mereka layak atau sebaliknya menduduki penempatan baharu yang dijanjikan.
“Perlu diingat kebanyakan penyewa Rumah Pangsa Tanjung Aru berada dibawah kategori B40 dan adalah terlalu berat untuk mereka menyewa rumah lain yang kadar lebih tinggi apalagi untuk membeli sebuah rumah, justeru kerajaan (LPPB) perlu cakna dengan isu ini,” jelas Jeffery.
Tambah Jeffrey, kenyataan media LPPB sebelum ini berhubung dengan isu kerosakan beberapa bangunan rumah Pangsa Tanjung Aru yang tidak dapat ditampung sumber kewangan (LPPB) untuk membaikinya yang seharusnya tidak berlaku dan ini turut mencerminkan ketidakcekapan agensi berkenaan mengurus sumber kewangan yang diperolehi dari sewaan yang diterima.
“Kenyataan ini juga memberikan gambaran masih ada blok blok rumah di kawasan ini boleh diperbaiki namun (LPPB) tidak mempunyai sumber kewangan untuk memperbaikinya,” katanya.
Dalam hal ini, Jeffrey yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata, UMNO bahagian Putatan amat bersimpati dengan rintihan keluh kesah penyewa yang diarahkan berpindah dari kediaman mereka di Rumah Pangsa Tanjung Aru dan oleh itu, UMNO Putatan akan terus menyuarakan rintihan mereka kepada kerajaan seiring dengan slogan yang terkandung dalam Sabah Maju Jaya (SMJ) Modal insan dan Kesjehteraan Rakyat.
Sehubungan itu, UMNO Putatan meminta campur tangan kerajaan khususnya Ketua Menteri bagi menyelesaikan kemelut yang berpanjangan itu yang meresahkan kebanyakan penyewa yang majoritinya dari golongan B40.
Menurutnya disebalik arahan mengosongkan rumahkerajaan juga perlu menyediakan rumah kepada penduduk yang terlibat untuk mereka berpindah.