KOTA KINABALU: Kongres tahunan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) awal bulan lalu yang dipertikaikan kerana didakwa melanggar perlembagaan persatuan itu kini sedang disiasat pihak berkuasa pendaftar persatuan sukan.
Ia susulan bantahan rasmi yang dikemukakan lima ahli majlis tertinggi (AMT) Safa sebelum kongres dijalankan.
Difahamkan pihak berkuasa itu, Pesuruhjaya Sukan (PJS) Sabah ketika ini sedang menjalankan siasatan berkaitan bantahan yang dikemukakan.
Pejabat itu telah mengambil maklum aduan yang diterima daripada bekas AMT Safa yang telah menandatangani surat bantahan rasmi tersebut.
Pejabat PJS itu dikatakan sedang meneliti aduan dan laporan maklumat dari persatuan bola sepak itu.
Beberapa ahli gabungan Safa yang menghubungi SabahDigest menyifatkan siasatan tersebut sangat dialu-alukan bagi memastikan kepimpinan dalam persatuan itu dihormati semua pihak.
“Safa adalah persatuan yang perlu diuruskan dengan bermaruah sesuai dengan statusnya sebagai persatuan sukan nombor satu di Sabah,” dakwa mereka.
Malah, ahli gabungan Safa terbabit sama sekali tidak menyetujui sebarang perbuatan atau tindak-tanduk tidak memfokus terhadap usaha meningkatkan kualiti sukan bola sepak tetapi lebih condong untuk memenuhi agenda peribadi.
Ada juga suara-suara yang mempersoalkan kenapa begitu ramai orang-orang politik yang berjawatan dalam kerajaan termasuk melibatkan ketua-ketua bahagian parti, tiba-tiba menaruh minat mahu memimpin persatuan sukan itu.
“Ini menjadi satu tanda tanya besar, bukan kah kepimpinan mereka sangat diperlukan dalam kerajaan untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat. Namun kenapa tiba-tiba mereka ghairah mahu melibatkan diri dalam persatuan…apa sebenar mereka “buru” dalam Safa,” soal seorang pemimpin ahli gabungan Safa.
Dalam pada itu, bekas-bekas pemain bola sepak Sabah juga menyambut baik siasatan yang dijalankan PJS terhadap persatuan itu.
“Ini sesuatu yang baik sebab mereka boleh melihat apa yang berlaku dalam sesebuah persatuan sukan dan memperbetulkannya jika persatuan itu melakukan perlanggaran dalam perlembagaan,”.
“Kita tunggu dan lihat perkembangan siasatan tersebut nanti,” tegas mereka.
Berhubung dengan tindakan pembuangan pekerja serta merta oleh Safa, seorang bekas pemain yang enggan disebutkan namanya berpendapat, ia tindakan yang melampau dan tidak bertimbang rasa kerana ada di antara yang terlibat merupakan legenda bola sepak yang banyak sumbangan dan pengorbanan kepada sukan bola sepak di Sabah.
“Jika nak berhentikan, lakukanlah mengikut peraturan dan berhemah tapi tindakan tersebut sangat biadap dan berniat jahat,” jelasnya.
Barisan kepimpinan baharu Safa yang belum mendapat pengesahan rasmi PJS sepatutnya tidak melakukan tindakan terburu-buru kerana ia boleh menyebabkan persatuan berhadapan masalah termasuk dikenakan penggantungan.