INANAM: Pelajar PACE Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Program Jalinan Kasih Bersama Komuniti Kampung Kobuni, di sini, kelmarin (18 Jun).
Aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti atau dikenali sebagai tanggungjawab sosial masyarakat (CSR)
Program tanggungjawab sosial masyarakat (CSR) itu telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bahari, Pensyarah PACE UUM.
Penganjuran program ini telah mendapat kerjasama dan sokongan sepenuhnya daripada komuniti Kampung Kobuni dan Klinik Kesihatan Inanam dalam memastikan objektif program dapat direalisasikan iaitu membantu memberi penerangan berkaitan tahap kesihatan mental dan mempertingkatkan budaya pemakanan seimbang yang disampaikan oleh Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu yang diketuai oleh Dr. Adha Mohammad Razif, Pegawai Perubatan yang bertugas semasa program.
Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan seperti khidmat nasihat oleh PKK, gotong royong bersama penduduk di sekitar kampung, pertandingan mewarna kanak-kanak, bantuan bakul makanan, cabutan bertuah, kuiz kesihatan dan yang paling penting pemeriksaan kesihatan percuma.
Menurut satu kenyataan hari ini, program Jalinan Kasih” bukan suatu program yang baharu di PACE UUM kerana ia telah lama dilaksanakan di bawah subjek Pembangunan Masyarakat, atau lebih dikenali sebagai VKMB, dan dilaksanakan dengan pendekatan yang berbeza menerusi kolaborasi bersama entiti atau organisasi sepertimana yang dilaksanakan oleh pelajar pada hari tersebut, mendapat sambutan daripada komuniti kampung.
“Sesungguhnya program ini sangat bermakna dan memberi manfaat kepada semua komuniti kampung Kobuni Inanam. Program seperti ini merupakan langkah strategik dalam Pembudayaan Nilai-nilai Murni dan Meningkatkan Semangat Perpaduan Dalam Kalangan Warga Pelajar PACE UUM, bagi mewujudkan kesedaran serta tanggungjawab sosial bersama komuniti.
“Diharapkan program seumpama ini dapat menimbulkan rasa ingin membantu masyarakat setempat secara sukarela dan seterusnya, membina imej warga PACE UUM yang dinamik, peka dan mempunyai semangat kebersamaan,” tambah kenyataan itu.
Turut hadir dalam menjayakan program tersebut ialah Aji Rombuton, Ketua Kampung Kobuni, Emalia Rabin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), AJK Kg. Kobuni, AJK Pelajar PACE UUM.
Dianggarkan seramai 100 orang lebih mengikuti program tersebut.
Semangat kesepakatan dan kerjasama seperti ini wajar diteruskan dan dijadikan budaya positif Pelajar PACE UUM, agar dapat terus memberikan yang terbaik kepada komuniti.
Pengarah Program, Yasmin Dawani berkata, ianya merupakan program yang sangat bersejarah kepada pelajar PACE UUM yang pertama kali menyertai program seperti ini, kerana rata-rata pelajar PACE UUM Kampus KK adalah penjawat awam dalam kategori unit beruniform seperi Polis, Kastam, Imigresen dan lain-lain lagi.